Bilakah Masa Yang Terbaik Untuk Memulakan Tabung Persaraan ?

Pada hari mendapat gaji pertama.

Ya. Masa yang terbaik untuk fikir pasal umur persaraan adalah bila kita baru mula bekerja.

Masa kedua terbaik ?

  • Pada bulan gaji kedua.

Masa ketiga terbaik ?

  • Pada bulan gaji ketiga.

Pada usia seawal 23 tahun selepas habis belajar di universiti, dah kena buat pelan persaraan. Dah kena tahu bagaimana bentuk persaraan yang kita mahukan. Kena mula seawal mungkin.

“Eh, kan bersara 30 tahun lagi?”

Sesungguhnya Islam suruh kita semua fikir nak masuk syurga ke nak masuk neraka. Bukan sekadar hidup di dunia.

Sejak mula mimpi basah, sejak mula keluar haid kita dah kena buat pilihan. Sudah kena fikir pasal azab kubur, sakaratul maut dan hari kiamat. Islam dah suruh umatnya memandang jauh ke hadapan.

Bukan sekadar bersara. Tetapi perihal mati, syurga dan neraka. Bila ingat mati, tidak lah suka hati guna produk riba, produk insurans konvensional dan pelaburan yang tidak patuh Shariah.

Malangnya, tak ramai nak fikir pasal persaraan ketika masih muda. Baik yang bergelar bos atau mereka yang bukan bos. Sebabnya saya selalu dijemput beri kursus mengenai persaraan. Tahun ini nak bersara, barulah mereka diberitahu cara nak bersara. Maka saya pun membentangkan perkara-perkara seperti:

  • Berapa banyak duit yang perlu ada dalam simpanan?
  • Apa yang patut dibuat jika dah ada beli rumah, saham dan pelaburan lainnya?
  • Bagaimana nak mengekalkan gaya hidup yang sama selepas bersara?
  • Apa yang patut dibuat dengan duit gratuiti, KWSP ?
  • Berapa lama kita dapat ‘hidup’ dengan duit persaraan sedia ada.

Dan pelbagai lagi persoalan penting.

Maka selepas habis sesi kursus persaraan, peserta pun datang dan berkata:

“Encik, saya patut dengar perkara ni 30 tahun dulu masa saya mula bekerja. Bukannya lagi 30 hari nak bersara!”

Saya hanya mampu tersenyum kelat.

Comments on this entry are closed.