Berhenti Jadi Raja Sehari Kemudian Jadi Hamba Bank 10 Tahun #SBM2.0

baitulmuslim20

Kita mempunyai pilihan.

1) Terus buat majlis perkahwinan seperti hari ini.

2) Membentuk budaya baru majlis perkahwinan yang lebih ‘mampu-buat’.

Sekiranya poket kita “dalam”, tiada masalah untuk buat cara kenduri kahwin yang kita suka. Apa yang mengundang kebocoran wang yang banyak di kemudian hari adalah apabila kita membuat kenduri kahwin di luar kemampuan sehingga terpaksa bergolok gadai & berhutang keliling pinggang.

Berhenti Jadi Raja Sehari Kemudian Jadi Hamba Bank Selama 10 tahun

Apabila kos perkahwinan hari ini mencecah RM 50,000 maka majoriti bakal pengantin terpaksa berhutang dengan bank sehingga 10-15 tahun.

Dengan kadar pembiayaan peribadi sekitar 5% setahun, setiap hutang RM 50,000 menyebabkan kita kehilangan aliran tunai sebanyak RM 600 sebulan selama 120 bulan. Seterusnya membayar balik kepada bank sehingga RM 72,000.

Benar, berkahwin & membuat kenduri perkahwinan itu satu sunnah namun Nabi saw tidaklah mengajar kita untuk membuat sesuatu di luar kemampuan sehingga membebankan kita. Baginda saw menyarankan agar kenduri kahwin ini dibuat walaupun hanya sekadar seekor kambing. Nak tunjuk, kenduri itu sunnah dan buat kecil-kecil pun tidak mengapa.

Dalam masyarakat kita, kenduri seekor kambing mampu menjamu dari 60-100 orang.

Jom Ubah Budaya Kahwin di Malaysia

Apabila anak-anak muda yang mahu berkahwin dapat mengelakkan dari membuat pembiayaan peribadi sebesar RM 50,000 mereka bakal mempunyai aliran tunai sehingga RM 600 sebulan. Jika mereka mampu bayar kepada bank RM 600 sebulan, sebenarnya mereka juga mampu menyimpan sebanyak itu setiap bulan.

Justeru, dengan aliran tunai sebanyak itu bakal pengantin mempunyai 2 pilihan mudah.

#1 Menyimpan RM 600 sebulan selama 7 tahun

Hasilnya dianggarkan seperti berikut

Tabung Haji (5%): RM 61,553.58
ASB (8%): RM 69,383.72

#2 Memulakan pelaburan hartanah setiap sendiri

Suami beli satu. Isteri beli satu. (Sila pastikan pembelian dibuat setelah mempelajari ilmu pelaburan hartanah dahulu ya)

Selepas 7 tahun berkahwin, rumah tersebut dapat terus disewakan atau dijual dengan keuntungan. Seterusnya mereka dapat bergabung membeli rumah yang lebih besar dan yang lebih sesuai untuk membentuk ‘Rumahku Syurgaku’.

Anak Muda Mesti Kumpul Aset

Kumpul aset secepat mungkin.

Bukan hutang kereta.
Bukan hutang rumah (untuk diduduki)
Bukan hutang peribadi (untuk berkahwin)

Barulah duit kita bekerja keras untuk kita dan bukannya kita bekerja keras untuk bank.

Dalam situasi hari ini, penyakit kewangan anak-anak muda di Malaysia bermula sejak mereka mula bercinta lagi.

Terima kasih kepada semua yang hadir pada Seminar Baitul Muslim 2.0 pada 16 Februari 2013 di Putrajaya International Convention Center (PICC). Sila klik link di bawah untuk mendapatkan spreadsheet strategi perbelanjaan perkahwinan seperti dalam sesi Fulu$ oh Fulu$.

>> Klik dan save as untuk muat turun.

email
About Suzardi Maulan

Pelabur hensem, penulis & trainer. Ketahui strategi-strategi ringkas untuk urus duit, buat duit & labur duit seterusnya menebalkan poket anda.

Comments

  1. Nice artikel Pakdi..

  2. Bila jodoh dah dekat, sebolehnya anak muda seperti kami memang nak buat majlis seringkas yang boleh ikut kemampuan. Tapi apakan daya nak jaga hati mak ayah, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai.. kami terpaksa jgk berhutang (T_T). saving & aset pun tak seberapa. niat dalam hati nak tunaikan kewajipan.lepas kawin baru start saving balik untuk buat full settlement. InsyaAllah. =)

  3. Saya tak buat kenduri kahwin sebelah lelaki…
    Isteri kempunan nak bergambar tukar-tukar baju kimono, cheongsam dan lain-lain.

    Itu cerita 11 tahun dulu.

    Sekarang umur dah 36 tahun, anak dah tiga, besar 8 tahun, kecik 1 tahun setengah

    Insya Allah, pondok buruk kami akan habis bayar bulan enam tahun nie.
    Insya Allah, lagi 2 tahun 10 bulan 10 hari dah boleh berhenti kerja sepenuh masa.
    Monitor anak-anak dekat lebih dekat, jaga emak-emak yang semakin tua dan buat tuisyen free kat kampung. (angan-angan nie… hehehe….)
    Cadangnya nak buat haji + pergi melancong jauh skit sebelum berhenti kerja penuh nanti.

    Sekarang masih makan gaji dan pergi keja naik moto macam 15 tahun dulu.

    p/s :anak-anak saya masih makan kfc atau mc donald dalam dua minggu sekali. Pada saya, saving bukan bermaksud ikat perut sampai tak beli susu anak. Saving bermaksud belanja pada yg patut.

    Income > expenses + doa banyak-banyak.

    Sorry, termembebel plak… macam ler org nak tahu sangat…. hehe…

    • Suzardi Maulan says:

      Alhamdulillah… Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.

    • betul saya setuju dengan anda. saya pun praktikkan macam tu. saving bukan maksud ikat perut, tapi kalau sampai ikat perut untuk bayar loan bank selama 20 tahun. fikir-fikir lah sendiri.

  4. Masih lagi menunggu 3 tahun lagi untuk langsai.. Terkono betul kat den..

  5. Adat dan budaya yg menyerong dari kehendak agama perlulah disekat dari diwarisi generasi. Manakala makna kekayaan perlu didefinasikan kembalikan agar perspektif materialistik bukannya satu ketetapan. Matlamat kejayaan dan kekayaan perlu dipusatkan untuk duniawi dan ukhrawi. Fahaman yg negatif ni boleh menghancurkan ummah.

  6. Artikel yg. memotivasikan anak muda supaya cepat sedar dari bebanan hutang. Antara yang paling menarik adalah”

    “Apabila anak-anak muda yang mahu berkahwin dapat mengelakkan dari membuat pembiayaan peribadi sebesar RM 50,000 mereka bakal mempunyai aliran tunai sehingga RM 600 sebulan. Jika mereka mampu bayar kepada bank RM 600 sebulan, sebenarnya mereka juga mampu menyimpan sebanyak itu setiap bulan”.

    Tidak terfikir sebelum ini yang kita sebenarnya mampu untuk menyimpan RM600 sebulan, tapi mengapa memilih cara berhutang dengan bank yer…

  7. terima kasih atas artikal yang berguna ini..malangnya saya dah kawin baru baca artikal ini.. :-) .. tapi takpe boleh jadikan panduan untuk adik2 yang akan berumahtangga nanti..

  8. tu sbb akak tak bagi anak buat loan bila nak kawin.
    duk umah mak..simpan duit setiap bulan..tak yah beli apa yang tak perlu
    insyallah cepatlah duit tu byk dlm bank

  9. Assalamualaikum w.b.t

    Terima kasih atas perkongsian ketika di SBM 2.0 . Saya ada ketika pakdi member pekongsian tersebut. Very inspiring. Modal kurang dalam RM10,000 dan boleh kahwin. Pakdi, saya nak tanya jika saya nak jemput pakdi bagi talk berkaitan dengan kewangan kepada mahasiswa Universiti Malaya boleh tak? Bagaimana caranya ya?

    Terima kasih

  10. Apa (tooot) kahwin 50k ni (tooot)!

  11. Nukilan Pakdi sentiasa membuka ‘mata’ para pembaca.
    Teruskan berkarya. Semoga dimurahkan rezeki. =)

  12. Terima kasih pakdi atas perkongsian ini. Sedikit sebanyak memberi gambaran kepada saya betapa mudahnya perkahwinan jika kita tahu sejauh mana dalam poket kita. Heh!

  13. Nur Fadhli says:

    Setuju, tidak perlu berhutang untuk berkahwin. Sekadar berkongsi pengalaman sendiri, saya membelanjakan lebih kurang RM 30k untuk urusan pertunangan & perkahwinan saya selepas 2 tahun bekerja, tanpa hutang. Sabda Nabi, 3 perkara yang menyenangkan hati manusia, pasangan yang baik, rumah yang luas dan kenderaan yang baik. Nabi suruh kahwin dulu baru beli rumah dan kereta yang terakhir.

  14. Tak buat loan utk kawen tp saving abes byk utk kawen. Kalau tak, bleh beli rumah lagi. Rugi333.. :(

Trackbacks

  1. [...] Jika kita hanya mampu menyimpan RM 1,000 sahaja setahun, maka kita perlu masa 15 tahun untuk cukupkan duit hantaran (itupun kalau jumpa bakal isteri baru berusia 10 tahun dan kos hantaran tetap tidak berubah sampai bila-bila). Maka jalan penyelesaian mudah yang ramai orang ambil adalah berhutang dengan bank selama 10 tahun. [...]

Speak Your Mind

*