Bagaimana Untuk Mula Menguruskan Pembahagian Harta Semasa Hidup ?

60

Ada 2 sahaja perkara asas untuk mula menguruskan pembahagian harta (estate planning).

Ya, ada dua sahaja.

Saya tahu, kita semua pun tahu, ilmu berkenaan harta pusaka adalah antara yang paling rumit sekali pengurusannya. Sudahlah prosedurnya rumit, tidak ramai pula yang faham. Daripada sedikit yang faham itu pula, bukan semua berpeluang mengamalkannya.

Maka melalui artikel ini saya tidak akan rumitkan apa yang sudah sedia rumit. Untuk permulaan, cukup untuk tahu dua perkara asas dahulu.

1. Ketahui Status Harta & Beban Anda

Ada tiga perkara yang perlu disenaraikan sementara kita masih hidup.

Jangan sorokkan perkara-perkara ini sampaikan suami / isteri pun tidak tahu. Sebab lepas mati nanti, orang lain yang perlu uruskan. Ingat, kita tidak boleh bangkit dari kubur untuk campur tangan urusan yang kita tinggalkan ini.

i. Harta tidak alih :

Sebelum anda mati, kenalpasti berapa banyak harta tidak alih anda.

Harta kepunyaan anda bermaksud, nama anda ada tertera dalam suratan hakmilik (geran tanah) tidak kiralah sama ada nama anda sebagai pemilik penuh atau sebahagian daripadanya. Asalkan ada nama anda dalam geran tanah, itulah harta tak alih anda.

Buat satu SENARAI KHAS bagi setiap hakmilik tersebut. Tanah di utara, barat, timur dan selatan, senaraikan.

Simpan geran asal atau sekurang-kurangnya salinannya.

Sekiranya selepas anda mati dan geran tidak dapat dijumpai, waris-waris anda masih dapat membuat semakan di pejabat tanah dengan menggunakan salinan geran tersebut.

Kemaskini dokumen-dokumen hakmilik anda. Setiap kali anda melakukan apa-apa transaksi berkaitan harta tidak alih, simpan status terkini harta tidak alih tersebut.

Ini untuk mengelakkan waris-waris anda menyangka anda masih lagi pemilik hartanah sedangkan sebenarnya anda sudah mewakafkannya. Ataupun, selama ini anda atau waris-waris menyangka anda adalah pemilik hartanah. Tetapi rupa-rupanya anda hanyalah pentadbir atau pemegang amanah!

ii. Harta boleh alih :

Sama seperti harta tidak alih, kenalpasti semua harta boleh alih anda dan buat satu SENARAI KHAS juga.

Senaraikan setiap institusi kewangan yang menyimpan wang tunai anda, sijil-sijil saham, polisi-polisi takaful, geran kenderaan-kenderaan, akaun persatuan, NGO atau kelab yang mana anda memegang amanahnya dan sebagainya. Termasuklah juga ‘duit kutu’ bersama rakan sekerja.

Buat salinan bagi dokumen-dokumen berkaitan, terutama jika anda jenis yang menyimpan dokumen-dokumen asal dalam peti keselamatan di mana-mana institusi.

Oh ya, JANGAN LUPA! Dokumen tentang kewujudan peti keselamatan itu pun harus disimpan salinannya juga.

SENARAIKAN semua hutang-hutang anda.

Dengan siapa atau institusi mana anda ada membuat hutang. Atau jika anda menjadi penjamin kepada sesiapa, senaraikan juga.

2. Ketahui Siapa Waris-waris Anda 

i. Senaraikan nama ahli keluarga anda.

Tidak seperti golongan bangsawan yang punya rekod lengkap sulur-galur salasilah keturunan mereka, rekod golongan kebanyakan adalah berbeza. Iaitu hampir tidak ada rekodnya. Jangan kata nama moyang, nama penuh datuk dan nenek juga ada langsung tidak tahu. Adik-beradik datuk dan nenek pun gagal juga kadang-kadang.

Maka adalah satu amalan yang baik jika anda memulakan dahulu tradisi ini. Iaitu menyimpan setiap salinan dokumen ahli keluarga anda, termasuklah salinan kad pengenalan, salinan sijil kelahiran, sijil nikah/perkahwinan dan juga salinan sijil kematian. Kemudian, sebarkan amalan ini pada setiap ahli keluarga anda.

ii. Cari waris yang sudah terputus hubungan

Manusia berubah. Begitu juga hati dan perasaan.

Mungkin ada ahli keluarga yang sudah tidak berhubung akibat perceraian. Dalam hal begini sekiranya boleh, cubalah kesan ahli keluarga yang terputus hubungan itu.

Carilah kembali bekas isteri/suami yang membawa diri bersama anak anda. Anak-anak yang dibawa pergi oleh bekas pasangan anda itu adalah waris-waris anda. Biarpun anda sudah punya keluarga baru, mereka tetap berhak ke atas harta pusaka anda.

iii. Daftar semua perkahwinan

Ini perkara yang tidak kurang pentingnya.

Daftarkan perkahwinan yang anda sembunyikan.

Ya, saya faham. Memanglah lebih baik jika perkahwinan diwar-warkan. Tapi anda mungkin ada alasan tersendiri untuk terus menyembunyikannya.

Cuma, ketahuilah bahawa perkahwinan senyap-senyap anda itu (walaupun sah di sini undang-undang) adalah menyusahkan. Ia salah satu punca harta pusaka anda tidak dapat diuruskan oleh waris-waris. Malah berpotensi menjadi drama! Lagi-lagi bila rahsia anda pecah di ruang tamu rumah – dan anda sedang terbujur kaku dalam bentuk jenazah.

Kita Tidak Tahu Bila Ajal Sampai

Tuan-tuan dan puan-puan, kita tidak tahu bila ajal kita sampai.

Bertindaklah sekarang. Kenalpasti kedua-dua perkara asas ini selagi hayat dikandung badan. Mula buat senarai anda – hari ini. Jangan sampai orang tersayang tidak mendapat harta yang ditinggalkan nanti.

Kalau bukan hari ini, bila lagi ?

About the author: Naziatul Azrin ialah seorang pengamal undang-undang di Ipoh, Perak. Berpengalaman mengendalikan urusan harta pusaka muslim dan bukan muslim.

10 comments… add one
  • acaiijawe Nov 25, 2015

    Salam,

    Orang selalu wariskan harta yang bermanfaat kepada waris. Memandangkan Islam sangat mengambil kira bab hutang, boleh ke kita wariskan hutang-hutang kepada waris?

    Contoh, hutang A kepada anak 1. Hutang B kepada anak 2.

    1. Sekiranya waris tidak menerima bebanan hutang tersebut apa yang boleh perunding buat?

    2. Boleh ke dalam wariskan harta, kita tetapkan syarat sebelum execute para seterusnya?

    Contoh, settlekan hutang bapak kat ahmad albab. Bila dah settle, baru dapat sebidang tanah di sinun. Tapi syarat kedua ni langsung tidak di bagitau terlebih dahulu melainkan telah selesai syarat pertama?

    • Suzardi Maulan Nov 26, 2015

      Hutang tidak diwarisi.

      Cuma hutang si mati kena habis bayar dulu baru boleh harta tu dibahagi-bahagi. Memang waris yang kena bantu selesaikan, tapi itu belum buat pusaka lagi.

      Jika lepas bayar hutang, habis semuanya, makanya tiadalah harta yang tinggal.

      Tak perlu bersyarat, berwasiat pun, memang hutang itu wajib dilangsaikan. Sama ada guna harta si mati atau ada orang lain nak tolong bayarkan i.e. takaful / insurans.

  • cikismalina Dec 3, 2015

    Assalamualaikum… Maaf tuan, sekiranya selepas bapa meninggal, anak2 dah selesaikan segala hutang2 arwah tetapi harta pusaka seperti duit simpanan ASB, tanah dan rumah tidak dibahagikan. Mereka memilih untuk membiarkan begitu sahaja hampir sepuluh tahun. Apa hukumnya ya? Dan jika anak memilih untuk membawa keluar hanya duit simpanan sahaja untuk dibahagikan, tetapi rumah dan tanah dibiarkan sahaja, boleh atau tidak?

  • naziatulazrin Dec 6, 2015

    Tidak ada hukum yang spesifik tentang penangguhan pusaka harta pusaka. Tapi, hukumnya akan saling berkait sepertinya tentang penafian hak orang lain (terutama jika ada anak yatim) dan sebagainya.

    Rumah, selagi belum diuruskan selagi itulah nama si mati kekal dalam geran. Ada banyak hartanah orang melayu islam masih dimiliki oleh orang mati sebab waris-waris tidak berbuat apa-apa. Kesannya, hartanah menjadi beku. Urusniaga pun sukar dijalankan. Jika kerajaan hendak ambil tanah, waris-waris tidak mendapat pampasan selagi rumah masih belum ditukar nama. Kebanyakan kes, pampasan akan terus disimpan di amanah raya. Waris boleh menutut jika sudah selesai harta pusaka diuruskan.

    Banyak juga kes yang berlaku, bila rumah masih lagi nama si mati waris-waris berkira, saling tolak-menolak untuk bayar cukai tanah dan cukai pintu. Kemudian, akan berlaku tunggakan. Kerajaan boleh ambil tindakan terhadap tunggakan cukai-cukai.

    Ada banyak lagi kesan lain. Tapi saya nasihatkan mulakanlah segera berbincang dengan keluarga tentang urusan harta pusaka.

  • maziah Feb 19, 2016

    Salam, bagaimana sekiranya Surat Kuasa Mentadbir yang Mahkamah Tinggi berikan berdasarkan senarai waris yang tidak lengkap? Umpamanya Abu meninggal dunia dan meninggalkan isteri kedua (isteri pertama meninggal lbh dulu), 2 org anak perempuan dari isteri pertama (isteri kedua tiada anak), 1 org abang kandung dan 3 org kakak kandung. Ibu dan bapa Abu telah meninggal dunia. Tetapi SKM cuma menyebut ada waris 2 org anak perempuan itu sahaja dan Geran SKM diserah pada salah seorang anak perempuan simati. Patutkan waris lain memohon SKM itu dibatalkan oleh Mahkamah atau ada cara lain untuk memasukkan nama-nama waris yang tidak disenaraikan tersebut?
    Terima kasih tuan.

  • maznah Feb 22, 2016

    Bagaimana setelah selesai pembahagian pusaka dan geran sudah dapat, tiba-tiba 4 orang adik beradik 1 lelaki dan 3 perempuan tidak mahu bahagikan hak pusaka kepada adik beradik 2 lelaki dan 1 perempuan. Mereka tidak mahu mecairkan harta tersebut. sedangkan 3 beradik teta mahukan hak mereka.

  • thehaikal Apr 12, 2016

    Dalam bab pusaka ni memang agak leceh untuk diuruskan terutamanya jika waris sendiri tidak tahu tentang harta yang ibu bapa mereka ada. Dan ibu bapa juga dulu-dulu kurang alert tentang nak senaraikan harta yang ada.

    Ada satu hamba Allah dalam kampung saya pesan..kalau nak mudahkan anak-anak / waris, sebelum mati bagi siap-siap harta kat anak-anak..tukar nama apa yang patut..tapi tu orang lama punya style..kalau style sekarang mungkin orang guna wasiat..bile dah mati baru dapat bahagian yang diwasiatkan..

    Sekadar perkongsian..

  • Hassan Bin Ahmad Feb 6, 2017

    A’salam
    Saya nak tanya arwah bapa saya telah mewariskan rumah(flet 5 tingkat) diatas nama emak saya(sudah meninggal dunia) nama saya(anak lelaki) dan nama kakak saya(no 4),adakah rumah itu milik saya dan kakak saya. Bagaimana pulak kakak saya yg sulung nak membeli rumah tersebut tanpa mebincangkan dengan saya harga jualbeli rumah padahal kakak saya yg no 2 ada mengatakan yg kakak saya sudah berbincang dgn adik beradik nak jual rumah dgn harga yg murah sedangkan saya tidak diberitahu perbincangan tersebut.
    Saya telah dihalau keluar dari rumah tersebut diatas masalah salah faham.
    T/kasih..

Leave a Comment