Bagaimana Islam Mengajar Kita Cara Jadi Kaya ?

kau

Islam & kekayaan berpisah tiada.

Sebab itu dalam al-Quran disebut, “Dirikan solat dan (cari harta untuk) bayar zakat,”

Apabila ayat-ayat itu diulang hampir 30 kali, maka sudah tentu ada ayat lain yang menunjukkan cara-caranya. Maka ia bermula dari ayat ini:

Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. (Surah Yusuf, ayat 47)

Prinsip urus duit gaya Nabi Yusuf a.s. ini senang untuk kita faham. Secara ringkasnya ayat ini mengajar kita:

  1. Cari sumber pendapatan. Ia boleh jadi bekerja makan gaji atau buat bisnes sendiri. Apa yang penting ada sumber pendapatan.
  2. 7 tahun pertama kita bekerja / bisnes adalah masa untuk buat kerja dengan bersungguh-sungguh. Serius dalam mencari rezeki. Bukan main-main.
  3. Seterusnya, pendapatan bulanan kita hendaklah disimpan / ditukarkan dalam bentuk aset.
  4. Selebihnya, baru lah kita makan / belanja / beli sport rim kereta.

Orang seperti saya selalunya mencadangkan paling kurang 10% dari pendapatan untuk disimpan. Namun jika kita perhatikan ayat Quran di atas sebenarnya saranannya adalah kita perlu lebih banyak simpan dari belanja. 

Buat duit banyak-banyak > Simpan 51% pendapatan > Belanja
.

Namun ia tidak berhenti di situ. Ayat ini bersambung lagi.

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). (Surah Yusuf: 48)

Seterusnya dalam prinsip urus duit gaya Nabi Yusuf a.s

  1. Zaman susah pasti datang. Justeru, ayat sebelum ini mempersiapkan kita menghadapi situasi susah.
  2. Ketika zaman susah, harta kita pasti banyak habis digunakan untuk kelangsungan hidup pada zaman ini.
  3. Namun zaman susah juga pasti berakhir dan kita akhirnya mempunyai modal untuk melabur.

Apa yang sukar untuk difahami adalah adakah 7 tahun itu sesuatu yang pasti atau ia sekadar yang berkaitan dengan kisah Nabi Yusuf a.s. sahaja. Wallahu’alam.

Justeru, formula ‘simpan’ banyak mana itu tidak dapat dikeluarkan dengan tepat. Mulakan dengan mencukupkan simpanan ‘kecemasan’ untuk 1 bulan, 3 bulan, 6 bulan dan seterusnya. Buat masa zaman senang.

Apa yang pasti mereka yang tidak membuat persediaan sewajarnya pasti mengharungi zaman yang susah pasti tidak dapat mengambil peluang yang muncul. In diterangkan dalam ayat seterusnya:

“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”. (Surah Yusuf : ayat 49)

Apabila kita menyimpan sebahagian besar pendapatan pada zaman senang maka kita dapat mengharungi zaman susah dengan baik dan akhirnya mempunyai modal (biji benih). Biji benih itu adalah untuk menanam semula ketika zaman kembali subur pada peringkat awal sekali.

Ketika ini ramai orang yang tidak bersedia untuk menanam semula. Ada 2 faktor utama yang dapat menyebabkan hal ini berlaku:

  1. Simpanan tidak cukup lalu habis
  2. Tidak menyimpan dari fasa 1 lagi dan ketika susah baru lah mahu mula menyimpan.

Dalam konteks hari ni, mereka yang bersedia sejak awal dapat membeli aset-aset pada harga yang sangat murah iaitu ketika orang lain tidak mahu membeli aset-aset tersebut. Malah, percaya atau tidak, ketika ini ramai orang sedang menjual aset mereka kerana ketiadaan ‘duit’. Aset tersebut dibeli pada harga tinggi, dengan harapan harga akan naik dengan lebih tinggi, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Bum! Harga jatuh.

Maka ketika orang lain tengah pening mencari “biji benih”, kita dah ada biji benih hasil dari kehidupan kita yang biasa-biasa sahaja pada fasa pertama. Maka, apa yang kita perlu kita buat ketika peluang ini datang adalah tabur sahaja biji benih tersebut pada tanah yang sedang mula subur. Masa untuk bertani semula.

“What the wise man does in the beginning, the fool does in the end.” – Old proverb.

Maka beruntunglah mereka yang bersusah-susah dahulu dan bersenang-senang kemudian. Iaitu …

  • Mereka yang cuma pakai kereta biasa-biasa dahulu walaupun dah mampu pakai kereta yang berharga 2,3x ganda dari kereta hari ini.
  • Mereka yang sanggup menyewa rumah atau beli rumah yang kecil sahaja dulu walaupun sebenarnya mampu beli rumah yang besar sekarang.
  • Mereka yang hidup di bawah kemampuan sebenar ketika zaman senang awal-awal dulu.

“Ini lah kitab (al-Quran), tiada keraguan padanya  petunjuk bagi orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: ayat 2)

About the author: Suzardi Maulan, Islamic Financial Planner (IFP). Klik sini untuk info lanjut

Lagi Artikel Menarik

Comments on this entry are closed.