Bagaimana Bapa Ini Mengajar Anak-Anaknya Cara Berbelanja Dari Kecil

alley5

Kalau melentur buluh biar dari rebungnya.

Itu kata orang bijak pandai.

Berikut adalah catatan seorang bapa yang sedang mendidik anak-anaknya yang berumur 5, 7 & 9 tahun menjadi bijak wang

Didik Anak Berhemah Berbelanja, Satu Perkongsian

Oleh: Sunardi Maulan

Hari ini anak lelaki saya menangis apabila mendapati baki duit poketnya adalah yang paling sedikit, hanya 90 sen, dibandingkan dengan abang dan adiknya. Tangisannya bersebab. Ia adalah tangisan kesal yang sebaiknya berlaku sekarang daripada hari kemudian. Apa yang telah berlaku sebenarnya?

Pada cuti umum Tahun Baru Cina yang lalu, saya membawa keluarga saya untuk ‘Cuti-cuti Malaysia’. Dengan bajet terhad, kami suami isteri mencari jalan yang terbaik untuk menikmati percutian yang menyeronokkan. Kami dapati salah satu daripada sumber kebocoran utama ketika bercuti adalah memenuhi permintaan anak-anak yang inginkan pelbagai barangan seperti makanan, minuman dan juga cenderamata. Maklumlah, mana ada ibubapa yang sanggup menidakkan permintaan anak-anak terutamanya dalam suasana percutian.

Dengan izin Allah, kami mendapat satu idea iaitu dengan memberikan duit poket sebanyak RM50 setiap seorang. Kami juga pastikan kefahaman sebaik-baiknya diberikan kepada mereka atas tindakan kami tersebut. Peraturannya mudah, sepanjang percutian ini, mereka bebas membeli apa sahaja yang mereka inginkan dengan menggunakan duit poket tersebut. Kami tidak akan membelikan apa-apa kecuali atas dasar ‘belanja anak-anak’. Alhamdulillah mereka nampaknya memahami penerangan yang kami berikan. Sebelum itu, satu syarat wajib yang kami kenakan adalah mereka semua hendaklah menyimpan 10% daripada jumlah duit poket. Bukannya banyak manapun, hanya RM5 sahaja.

Percutian pun bermula dan kami memerhatikan sahaja gelagat mereka berbelanja. Yang sulung agak berhemah dalam berbelanja, sudah mampu membezakan yang mana satu saya boleh tunggu dan yang mana saya betul-betul inginkan. Anak yang kedua sangat teruja, apa sahaja yang diinginkan pasti dia akan beli sehingga kami terpaksa mengingatkannya berkali-kali. Si kecil hanya mengerti bahawa dia ada duit namun kurang pasti bagaimana untuk menggunakannya. Dia lebih banyak menggunakan wajah comelnya untuk mencairkan hati abahnya terutamanya untuk melaksanakan dasar ‘belanja anak-anak’.

Perkara ini perlu dilakukan bersama-sama. Isteri saya mencatatkan setiap perbelanjaan dan mengira jumlah perbelanjaan harian manakala saya pula banyak mengingatkan mereka agar sentiasa beringat ketika berbelanja. Proses ini berakhir di penghujung bulan lalu (benar, kami lanjutkan tempohnya hamper dua bulan) dan ia berakhir dengan pengiraan beramai-ramai. Di penghujung pengiraan, berderailah air mata anak bujang saya yang kedua itu.

Dalam sendu tangisnya itulah saya mengambil kesempatan untuk menasihatkan mereka tentang kepentingan berjimat-cermat, perbelanjaan berhemah dan yang paling penting memohonnya faham tindakan saya yang kadangkala tidak membenarkan sesetengah pembelian dengan sewenang-wenangnya. Riak wajah mereka dan bahasa badan mereka menunjukkan mereka faham dengan pengalaman yang mereka lalui. Samada mereka terkesan dengan pengalaman tersebut ataupun tidak, satu tindakan susulan perlul dilakukan.

Keberkesanan proses pendidikan ini tidak dapat dilihat dalam sekelip mata, namun sudah ada kesan positifnya. Bulan-bulan mendatang saya akan meneruskan proses pendidikan ini untuk menjadikan perbelanjaan berhemah menjadi amalan mereka. Secara tidak langsung mengingatkan diri ini untuk sentiasa berbelanja secara berhemah.

Jangan jadi ibu ketam yang mengajar anaknya supaya berjalan betul. Oh ya, mujur pada awalnya kami mewajibkan mereka menyimpan RM5, maka anak saya mempunyai baki wang sebanyak RM5.90 sebagai simpanan.

Lagi Artikel Menarik

Comments on this entry are closed.