≡ Menu

Apakah Islam Membenarkan Matawang Selain Emas dan Perak?

Apakah hukum wang kertas ?

Apakah matawang mesti dinar & dirham sahaja, atau, emas & perak sahaja ?

Merujuk kepada satu kertas kerja bertajuk ‘Gold and Silver as Money: A Preliminary Survey of Fiqhi Opinions and Some Implications’ dibentang di International Conference on Stable and Just Monetary System, Kuala Lumpur, pada Ogos 2002, kertas kerja ini menyatakan ulama berbeza pendapat tentang adakah emas dan perak sahaja adalah matawang.

1. Ulama yang menyatakan hanya emas dan perak sahaja adalah matawang

Antaranya Imam Abu Hanifah dan anak muridnya Imam Abu Yusuf, ulama mazhab Maliki seperti Ibn Nafi‘, al-Adawi dan Shaykh ‘Alish, ulama dari Mazhab Shafi’i seperti Imam Ghazali, Imam Nawawi, Imam Suyuti dan Imam Maqrizi, sebahagian ulama Mazhab Hanbali dan juga pandangan dari golongan tabi’in seperti Imam Mujahid dan Imam Nakha’i. Ulama semasa yang menyokong pendapat ini adalah Shaykh Ahmad al-Khatib, Shaykh ‘Abd al- Rahman al-Sa‘di, Ibn Badran, Ahmad al-Husayni, Shaykh al-Muti‘I, Shaykh Muhammad Amin al-Shanqiti, Taqi al-Din al-Nabhani, Muhammad Baqir al- Sadr, Muhammad Makhluf, Hassan Ayyub dan Nasir Farid Wasil.

2. Ulama yang menyatakan matawang tidak terhad kepada emas dan perak

Antaranya adalah Imam Shaybani dari mazhab Hanafi; ulama mazhab Maliki seperti al-Hattab dan al-Wansharisi, sebahagian ulama Shafi’i dan sebahagian ulama Hanbali seperti Ibn Taymiyyah, Ibn Qayyim, ulama dari mazhab Zahiri seperti Ibn Hazm, golongan tabi’in seperti Laith ibn Sa’ad dan Al-Zuhri serta kebanyakan ulama semasa seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Muhammad Taqi Usmani, ‘Abd Allah Sulayman al-Mani’ dan juga Majma’ Fiqh Sedunia yang berpusat di Mekah.

Dua-dua kumpulan ulama’ ini mempunyai sandaran Syariah masing-masing.

Antaranya, hujah yang menyatakan zaman Nabi saw hanya ada dinar dan dirham. Namun pada masa yang sama, kaedah fiqh menyatakan selagi mana tidak ada dalil yang mengharam sesuatu perkara, maka ia adalah perkara yang boleh dibuat.

Secara tidak langsung bersetuju tiada larangan khusus yang menyatakan matawang selain emas dan perak adalah haram.

Memetik kata-kata Ibn Uthaymin, ‘Mazhab orang awam adalah mazhab pemerintahnya.’ Maka, dalam hal ini keputusan Majma’ Fiqh Sedunia yang menerima pendapat ulama dalam isu matawang tidak terhad emas dan perak telah diguna pakai secara meluas oleh semua negara umat Islam, maka wajiblah kita selaku orang awam mengikut ketetapan ini.

Keputusan Majma’ Fiqh pada 1986 ini juga telah diguna pakai oleh Majlis Shariah Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) pada tahun 2000 dan AAOIFI kini merupakan rujukan fatwa utama dalam urusan muamalat Islam hari ini.

Malah, kita pun berurusan dengan duit kertas secara meluas.

Maka, apabila duit kertas dapat menjadi matawang, maka ia mempunyai kesan riba. Apabila ada kesan riba, maka transaksi yang melibatkan matawang kertas perlu mengikut rukun dan syarat Bay’ Sarf.

Wallahu’alam.

Penulis: Suzardi Maulan, IFP, juga lebih dikenali sebagai Pakdi. Budak Jawa hensem yang bantu busy professionals ada cukup duit untuk retire.