Apakah Benar Emas Dapat Melawan Inflasi ?

gold

Emas kalis inflasi ?

Emas dapat lawan inflasi ?

Sekiranya tuan berjumpa dengan penjual emas, antara yang mungkin disebut adalah …

“Dari dulu sampai sekarang, harga kambing adalah 1 dinar. Maka beli lah emas sebagai pelindung nilai, pelaburan kalis inflasi.”

Apakah kenyataan tersebut benar ?

Mula-mula boleh buat begini. Tuan tanya penjual kambing sendiri. Apakah harga kambing memang sentiasa berharga 1 dinar ?

Kemudian, kita kena tahu asal usul kenyataan tersebut. Sales script penjual emas ini diambil dari hadis berikut :

‘Urwah al-Bariqi berkata Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) memberikan kepadanya 1 dinar supaya beli seekor haiwan korban atau pun seekor kambing.

Bermodalkan 1 dinar, ‘Urwah pun dapat membeli 2 ekor kambing dan menjual salah seekornya pada harga 1 dinar. Dia kembali kepada Baginda dengan 1 ekor kambing dan 1 dinar.

Rasulullah (berselawatlah kamu) mendoakan keberkatan dalam jual beli tersebut dan berkata: ‘Urwah ini jika berjual beli pasir sekali pun, pasti memperoleh keuntungan,”

Hadis ini direkodkan oleh Imam Bukhari, Imam Ibnu Majah dan Imam Ahmad.

Hadis ini adalah hadis hukum dalam bab ejen. Perwakilan. Agency. Wakalah. Namun, kita tidak membincangkan soal hukum berkaitan wakalah di sini. Kita mahu membincangkan teori 1 dinar dapat beli 1 ekor kambing. Iaitu sekiranya nak lawan inflasi, sila beli 1 dinar. Simpan dalam poket. Lepas beberapa tahun, masih dapat beli 1 ekor kambing.

Apa yang kita dapat belajar adalah dari hadis tersebut ialah:

1. Harga Kambing Zaman Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) Berubah-ubah

Dalam hadis ini kita dapat lihat ada kambing dijual pada harga 1/2 dinar seekor.

Pada zaman Nabi (berselawatlah kamu) pun harganya tidak tetap pada 1 dinar.

Sebab itu adalah penting kita membaca ayat Quran & Hadis secara keseluruhan dan bukan ambil yang kita suka sahaja. Dalam konteks hadis ini, berhenti kongsi cerita pada arahan Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) yang memberi 1 dinar untuk membeli 1 ekor kambing. Tetapi tidak menghabiskan cerita, iaitu apa yang terjadi selepas ‘Urwah melaksanakan arahan tersebut.

2. Perniagaan Harta Berkembang

Bermodalkan 1 dinar.

Peniaga dapat mengembangkan modal tersebut menjadi 1 ekor kambing dan 1 dinar. Macam apa yang ‘Urwah buat.

Namun tidak semua orang berbakat berniaga seperti ‘Urwah. Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) sendiri memuji kehebatan ‘Urwah berniaga. Namun, jika kita tergolong dalam golongan yang TIDAK berbakat, maka kita dapat menjadi rakan kongsi dengan orang semacam ‘Urwah melalui joint-venture. Atau juga membuat pembelian saham syarikat yang diuruskan oleh orang seperti ‘Urwah.

3. Islam Tidak Menetapkan Sebarang Had Keuntungan.

Berapakah % untung yang dibuat oleh ‘Urwah ?

Malah, Nabi Muhammad (berselawatlah kamu) mendoakan keberkatan jual beli ‘Urwah tersebut.

Ada harta berkembang (kambing) bernilai 1 dinar. Aset tunai (dinar), bernilai 1 dinar. Semuanya dari modal 1 dinar yang diberi Baginda.

Dalam bahasa pelaburan, tangible book value yang dihasilkan ‘Urwah adalah 2 dinar, dari intial capital 1 dinar. Namun, masih ada segelintir masyarakat Islam berpegang dalam Islam ada had keuntungan. Sedangkan tidak ada larangan sebegitu.

Penerangan lanjut mengenai perkara ini dapat rujuk artikel – Apakah Islam Menetapkan Had Keuntungan Perniagaan?
.

Mudah-mudahan artikel dapat membantu tuan mengelakkan membeli emas berdasarkan kenyataan-kenyataan palsu sebegitu.

Comments on this entry are closed.