Apa Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Persaraan ?

ret

Persediaan untuk bersara perlu dibuat dari sekarang.

Orang kata, exit strategy. Atau mungkin retirement plan.

Kenapa tak boleh tunggu lagi setahun nak bersara baru fikir tetapi kena fikir dari sekarang ? Barangkali penerangan berikut dapat membantu.

1. Pendapatan Ketika Persaraan

Berapa pendapatan yang tuan mahu ketika persaraan ?

Iaitu gaya hidup yang mahu dikekalkan i.e. perbelanjaan yang diperlukan setahun. Perkara ini mesti difikirkan secara serius.

Seandainya gaya hidup selepas persaraan yang diperlukan adalah RM 120 ribu setahun. Mahukah tuan tahu berapakah jumlah yang diperlukan untuk bersara?

Cuba kira dulu.
.
.
.
.
.
.
.

Tabung persaraan yang diperlukan paling sedikit RM 3 juta.

2. Keupayaan Pendapatan Semasa

Sekarang, apakah pendapatan semasa mampu mencapai sasaran tersebut ?

Pendapatan boleh datang dari sumber penggajian, perniagaan dan juga pelaburan. Tuan dapa baca nota lain yang telah disediakan:

Apakah Tuan Telah Mempunyai 3 Jenis Pendapatan ?

3. Investable Assets Semasa

Sudah tentu kena semak penyata kewangan peribadi dan mula buat pengiraan.

Mulakan dengan semak dan anggar simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Sekiranya tuan dapat mempunyai RM 1 juta dalam KWSP pada usia persaraan, maka tuan perlukan tambahan RM 2 untuk bersara dengan sasaran tersebut. Sememangnya kita tidak dapat mengharapkan pihak KWSP sahaja menguruskan tabung persaraan kerana ianya tidak mencukupi. Kenyataan ini ditulis dalam laman Facebook rasmi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja sendiri. Pada 20 Ogos 2014, 8:35 pagi.

kwsp

Seterusnya semak apa lagi aset yang ada.

  • FD, TH, ASB
  • Unit trust
  • Saham
  • Hartanah
  • REIT, ETF

Dan seterusnya.

4. Macam Mana Nak Cukupkan Lagi RM 2 Juta ? 

Seandainya investable asset semasa ialah RM 200 ribu.

Dengan sasaran pulangan sebanyak 8% setahun maka perkembangannya adalah seperti berikut:

  • 10 tahun : RM 432 ribu
  • 15 tahun : RM 634 ribu
  • 20 tahun : RM 932 ribu
  • 25 tahun : RM 1.4 juta
  • 30 tahun : RM 2 juta

Manakala dengan sasaran pulangan 10% setahun pula:

  • 10 tahun : RM 519 ribu
  • 15 tahun : RM 835 ribu
  • 20 tahun : RM 1.3 juta
  • 25 tahun : RM 2.2 juta

Maka, untuk memperoleh RM 2 juta sama ada mempunyai lebih banyak investable asset atau memperoleh pulangan pelaburan tahunan (annualized return) yang lebih tinggi.

Tapi Saya Ambil Pencen, Tiada KWSP Apakah Saya Juga Perlu Ambil Tahu ?

Ada 2 soalan yang perlu difikirkan.

Fikir dahulu, tak perlu jawab lagi pun tidak mengapa.

Soalan 1:

  • Apakah RM 50 hari ini sama dengan RM 50 pada waktu bersara nanti ?

Mungkin tuan dapat menjawab soalan ini dengan melihat nilai RM 50 pada tahun 1990.

Soalan 2:

Sekiranya tuan ditakdirkan hidup sehingga usia 80 tahun, apakah pencen tersebut mencukupi dengan faktor inflasi dan kos kesihatan yang semakin meningkat ?

Maka, selaku penjawat awam yang mengambil pencen, persoalan persaraan ini perlu difikirkan. Berapa agaknya jumlah pencen yang bakal diterima dan berapakah yang sebenarnya dikatakan cukup ?

5. Bersedia Untuk Berubah

Maka dari sini banyak perkara perlu disemak semula satu persatu.

Pelan persaraan adalah salah satu dari pelan kewangan yang perlu ada dalam hidup. Perubahan yang perlu sedia dibuat membabitkan perkara-perkara lain yang telah dibincangkan dalam nota di bawah:

7 Pelan Kewangan Yang Kita Semua Mesti Ada

Ini kerana pengiraan di atas tidak termasuk faktor-faktor lain yang boleh mengganggu pelan persaraan yang dibuat. Macam-macam boleh terjadi antaranya…

  • Dibuang kerja
  • Jatuh sakit
  • Pasangan berhenti kerja / dibuang kerja
  • Keperluan pendidikan anak-anak
  • Kos sara hidup

Mulakan Sekarang

Sekiranya tuan telah mempunyai pelan persaraan, laksanakan dengan sebaiknya.

Tapi jika belum ada maka kena duduk dengan pihak yang boleh membantu seperti seorang financial planner yang dapat menyediakan pelan kewangan secara holisitik. Selepas sudah ada pelan barulah pilih jalan yang mahu ditempuh.

Bilakah Masa Yang Terbaik Untuk Memulakan Tabung Persaraan ?

Pada hari mendapat gaji pertama.

Ya. Masa yang terbaik untuk fikir pasal umur persaraan adalah bila kita baru mula bekerja.

Masa kedua terbaik ?

  • Pada bulan gaji kedua.

Masa ketiga terbaik ?

  • Pada bulan gaji ketiga.

Pada usia seawal 23 tahun selepas habis belajar di universiti, dah kena buat pelan persaraan. Dah kena tahu bagaimana bentuk persaraan yang kita mahukan. Kena mula seawal mungkin.

“Eh, kan bersara 30 tahun lagi?”

Sesungguhnya Islam suruh kita semua fikir nak masuk syurga ke nak masuk neraka. Bukan sekadar hidup di dunia.

Sejak mula mimpi basah, sejak mula keluar haid kita dah kena buat pilihan. Sudah kena fikir pasal azab kubur, sakaratul maut dan hari kiamat. Islam dah suruh umatnya memandang jauh ke hadapan.

Bukan sekadar bersara. Tetapi perihal mati, syurga dan neraka. Bila ingat mati, tidak lah suka hati guna produk riba, produk insurans konvensional dan pelaburan yang tidak patuh Shariah.

Malangnya, tak ramai nak fikir pasal persaraan ketika masih muda. Baik yang bergelar bos atau mereka yang bukan bos. Sebabnya saya selalu dijemput beri kursus mengenai persaraan. Tahun ini nak bersara, barulah mereka diberitahu cara nak bersara. Maka saya pun membentangkan perkara-perkara seperti:

  • Berapa banyak duit yang perlu ada dalam simpanan?
  • Apa yang patut dibuat jika dah ada beli rumah, saham dan pelaburan lainnya?
  • Bagaimana nak mengekalkan gaya hidup yang sama selepas bersara?
  • Apa yang patut dibuat dengan duit gratuiti, KWSP ?
  • Berapa lama kita dapat ‘hidup’ dengan duit persaraan sedia ada.

Dan pelbagai lagi persoalan penting.

Maka selepas habis sesi kursus persaraan, peserta pun datang dan berkata:

“Encik, saya patut dengar perkara ni 30 tahun dulu masa saya mula bekerja. Bukannya lagi 30 hari nak bersara!”

Saya hanya mampu tersenyum kelat.
.

Nota ini disediakan oleh Suzardi Maulan, IFP.

Sekiranya tuan mahu membuat perancangan persaraan, boleh hubungi kami untuk perkara berikut:

1) Kursus Bijak Mengurus Wang Edisi Persaraan

Sekiranya tuan mahu mengadakan kursus, seminar, bengkel, latihan persediaan persaraan untuk kakitangan organisasi , pejabat , jabatan sila berhubung dengan kami, AFIQ Training & Advisory melalui talian 03 9207 9780 (Pn Suhaida) untuk mendapatkan sebut harga.

Atau, hantar emel ke info [at] afiqtraining [dot] com dan sila maklumkan nama, jawatan, organisasi, no telefon dan keperluan latihan yang tuan perlukan.

2) Khidmat Perancangan Kewangan

Sekiranya tuan mahu membuat temujanji kewangan, sila hubungi kami melalui 03 9207 9780 (Pn Suhaida) atau klik link ini — Borang Temujanji Kewangan Pakdi

About the author: Suzardi Maulan, Islamic Financial Planner (IFP). Klik sini untuk info lanjut

Lagi Artikel Menarik

Comments on this entry are closed.