Apa Itu Takaful ?

Takaful adalah perkongsian risiko.

Misalnya kos menguruskan satu jenazah adalah RM 1 ribu. Ada keluarga yang tidak bersedia dengan dana kecemasan sebanyak itu.

Jadi dalam sebuah taman perumahan, mereka buat satu tabung yang dipanggil tabung khairat kematian. Tabung ini biasanya diuruskan oleh pihak surau atau masjid.

Katakan dalam taman itu ada 100 penduduk Islam. Kadar kematian pula biasanya dalam setahun ada satu, kadang-kadang dalam setahun tidak kedengaran berita orang meninggal dunia. Jadi mereka berpakat masing-masing membayar caruman RM40 seorang. Duit dari tabung khairat itu diharap mampu menampung manfaat sekiranya ada satu kematian berlaku dalam satu-satu tahun.

Sekiranya ada ahli kariah yang meninggal dunia, maka ahli keluarganya akan menerima sejumlah manfaat yang diambil menggunakan duit dari tabung tadi. Dapatlah keluarganya menampung kos pengurusan jenazah. Mungkin juga ada lebihan untuk duit belanja dapur buat sebulan dua.

Inilah kita panggil perkongsian risiko. Setiap ahli berpakat untuk berkongsi risiko mengikut manfaat yang ingin diterima.

Praktis Dalam Industri Takaful

Konsep yang sama dipraktikkan dalam takaful.

Bezanya bayaran tadi diuruskan dengan lebih sistematik dan jumlah caruman yang perlu dibayar ditentukan oleh pengiraan secara sains aktuari.

Perlindungan kewangan yang disediakan pun adalah lebih banyak. Tidak terhad “khairat kematian sahaja”. Tetapi perlu bukan semua risiko kewangan dapat diselesaikan dengan produk takaful.

Selain itu perlindungan kewangan juga bergantung kepada manfaat apa yang kita pilih. Ada banyak produk takaful, dalam Takaful Keluarga sahaja ada banyak rider yang kita boleh pilih.

Rugi Kalau Ambil Takaful ?

Barangkali ada yang berkata,

“Syarikat takaful lah paling untung kalau tidak ramai orang meninggal dunia atau claim sakit kritikal kan?”

Kenyataan ini betul untuk syarikat insurans, tetapi tidak untuk syarikat takaful. Pelanggan insurans membayar premium, manakala peserta takaful memberikan sumbangan. Premium yang dibayar itu memang menjadi milik syarikat insurans, tetapi sumbangan peserta takaful itu tidak menjadi milik syarikat takaful.

Bergantung kepada model takaful yang diguna pakai. Misalnya berdasarkan model wakalah, sumbangan bulanan yang kita bayar akan dimasukkan dalam tabung tabarru’. Kemudian syarikat takaful pengendali tabung tersebut berhak mendapat upah. Maka, yang bahagian upah itu sahajalah yang menjadi milik syarikat takaful. Manakala tabung tabarru’ itu dilaburkan, disimpan untuk manfaat semua peserta yang menyertainya.

Kenapa Makin Berusia, Caruman Makin Mahal ?

Kita tidak tahu bila ajal kita datang.

Tetapi kita tahu mereka yang berusia 50 tahun lebih besar kebarangkalian untuk meninggal dunia berbanding orang yang berusia 20 tahun.

Selain itu risiko setiap individu tidak sama. Penilaiannya dibuat berdasarkan umur, pekerjaan, jantina dan juga sejarah penyakit individu tersebut atau keluarganya.

About the author: Azree Hanifiah adalah konsultan takaful. Beliau menulis panduan asas tanpa prejudis dan agenda tersembunyi bagi mereka yang ingin memahami mengenai Takaful. Klik sini untuk download ebook Takaful 101 itu secara percuma.

1 comment… add one
  • eyriqazz Jan 14, 2017

    Takaful lagi bagus dari insurans..Syariah compliance

Leave a Comment