≡ Menu

Apa Itu Saham?

1. Saham adalah bisnes.

2. Misalnya, kita mahu jual air soya tepi jalan. Kita keluarkan modal RM 500, kawan kita keluarkan RM 500. Jadi, dalam bisnes air soya, saham bisnes kita adalah 50%.

3. Bisnes berkembang, kita pun pergi bank minta pembiayaan. Bank luluskan. Kita dapat buka kilang.

4. Bisnes makin berkembang. Kita pergi bank. Bank kata, “Kalau bank nak bagi duit boleh, tapi kos pembiayan sekarang agak tinggi. Cara lebih murah adalah jual saham syarikat encik kepada orang awam untuk tambah modal.”

5. Kita setuju. 50% dari saham kita dan rakan kita tadi dijual kepada orang ramai. 100,000 unit saham baru akan dijual. Namanya saham terbitan awam atau initial public offering (IPO).

6. Sekarang, pemilik saham syarikat berhad air soya tadi adalah kita, rakan kita dan 100,000 pemegang saham yang lain.

7. Farizal Marlias (bukan nama sebenar) adalah salah seorang pemilik saham yang baru itu tadi. Oleh kerana terlalu ramai yang mahu saham syarikat berhad air soya, harga sahamnya naik di Bursa Malaysia. Untunglah pelabur bernama Farizal Marlias. Dia pun jual saham dia untuk dibeli oleh orang lain.

8. Nazmi Faiz (bukan nama sebenar) juga adalah salah seorang pemilik saham. Walaupun harga saham telah naik, tapi dia tak mahu jual lagi. Rupa-rupanya dia menunggu dividen hasil dari keuntungan operasi syarikat. Malah, dia tambah lagi pegangan saham dia apabila ada orang lain mahu menjual sahamnya.

9. Kita selaku pemilik asal syarikat tersenyum lebar sebab dah dapat modal dari IPO. Orang ramai juga dapat menumpang keuntungan syarikat kita dengan membeli saham-saham syarikat. Maklumlah, bukan semua orang berbakat uruskan bisnes sendiri sampai boleh diapungkan ke Bursa Malaysia.

10. Cuma kita selaku pembeli / penjual saham, urusan jual beli ini diuruskan oleh Bursa Malaysia menerusi pelbagai syarikat broker yang berdaftar. Manakala, untuk mengelakkan penipuan terhadap pelabur kita ada Suruhanjaya Sekuriti (SC) untuk mengawal selia (.e.g. badan hisbah).

Penulis: Suzardi Maulan (Pakdi) merupakan seorang investor, financial planner & trainer – pelaburan saham untuk persaraan.