Apa Itu Bank?

Bank merupakan orang tengah.

Dalam bahasa teknikalnya, financial intermediaries.

Institusi bank itu sendiri merupakan sesuatu yang neutral. Sekiranya bank itu beroperasi dengan kaedah riba, maka bank itu adalah bank yang haram di sisi Islam. Sekiranya bank itu tidak diuruskan dengan baik, maka bank itu akan menjadi bank yang rugi.

Di Malaysia, ramai yang cuma tahu kewujudan bank runcit. Bahasa teknikalnya adalah retail banking atau pun consumer banking. Bank yang kita buka akaun simpanan, mohon kad kredit, membuat pembiayaan rumah, kereta dan peribadi.

Sebenarnya ada banyak financial intermediaries selain bank runcit. Antaranya bank pelaburan, finance house, fund management, syarikat insurans / takaful , syarikat broker saham, bank koperasi, pengurup wang dan macam-macam lagi. Fungsi mereka sebagai orang tengah adalah sama, cuma sektor kewangan sahaja yang berbeza.

Bank pelaburan contohnya, terlibat dalam menerbitkan bon atau pun sukuk.
Bank komersil terlibat dalam trade finance.
Syarikat broker pula hanya boleh menjual beli saham & komoditi.
Syarikat fund management menguruskan dana pelaburan.

Peranan bank ini telah wujud lama. Malah, dalam sejarah Islam itu sendiri, “cek” (sakk) yang dikeluarkan oleh “bank” di Baghdad dapat ditunaikan di Morocco. Nabi saw sendiri dikenali sebagai seorang yang amanah, ramai orang mendapatkan khidmat Nabi saw untuk “menyimpan” (wadiah) sesuatu yang berharga. Pada penghujung usia baginda, baju perisai “digadaikan” (rahn) untuk mendapatkan gandum.

Kenapa peranan orang tengah ini penting. Begini.

Ahmad mempunyai wang tunai RM 250,000.
Ali pula hanya ada RM 2,500.

Ali berhasrat untuk membeli sebuah kereta berharga RM 60,000. Sekiranya tidak ada bank, maka Ali perlu mendapatkan pembiayaan dari orang yang kaya macam Ahmad. Kalau Ahmad ini pemakan riba, maka Ahmad akan memberikan pinjaman dengan kadar faedahnya sekali. Tetapi sekiranya Ahmad ini Shariah compliant orangnya, maka Ahmad akan menggunakan berjual beli dengan Ali dengan kontrak murabahah lil amri bi shira atau pun terus sahaja menggunakan kaedah sewa beli seperti ijarah muntahiah bit tamlik.

Seterusnya, Ali dan Ahmad perlu melantik peguam untuk dokumentasi hutang. Malah, Ahmad perlu bersedia untuk ‘menarik kereta’ sekiranya Ali tidak membuat pembayaran bulan-bulan kerana setiap hutang wajib dibayar. Begitulah secara umumnya apa yang perlu dilalui oleh Ahmad dan Ali. Tetapi ini jalan cerita mudah.

Sekarang cuba bayangkan, ada seorang lagi yang bernama Aminah, simpanannnya lebih banyak dari Ali iaitu sebanyak RM 10,000 dan berminat untuk mendapatkan sebuah kereta juga. Kerjaya Aminah adalah lebih stabil dari Ali dan lebih berdisiplin. Sekiranya Ali dan Aminah menghantar borang permohonan dengan serentak kepada Ahmad, apakah proses yang perlu Ahmad buat?

Maka di sini wujud kaedah pengurusan risiko seperti penilaian kredit. Adakah Ahmad mempunyai kemahiran mengurus risiko untuk menentukan siapa antara Aminah & Ali yang lebih cenderung untuk bayar hutang secara berdisiplin sekiranya Ahmad bersetuju memberikan pembiayaan selama 7 tahun ?

Begitulah yang bakal berlaku sekiranya tidak wujud bank.

Orang-orang kaya perlu bantu sendiri orang miskin secara langsung. Masalahnya, bukan semua orang pandai menguruskan hutang, sama ada memberi hutang, membayar hutang atau mengutip hutang. Kekayaan tidak diuruskan dengan efektif.

Jadi apabila bank wujud, maka orang yang kaya (surplus) perlu menyimpan sahaja duit dalam bank.
Selepas itu orang yang tidak ada duit (deficit), akan pergi ke bank untuk mendapatkan pembiayaan.

Bank selaku orang tengah akan menguruskan aset dan liabiliti mereka bagi membolehkan orang kaya mengeluarkan duit simpanan pada bila-bila masa yang diperlukan. Pada masa yang sama orang yang tidak berduit sangat ini mendapatkan pembiayaan kewangan tanpa perlu risau. Bayangkan jika secara tiba-tiba orang kaya menuntut hutang dengan lebih awal kerana anak mereka mahu menyambungkan pelajaran di luar negara.

Maka, bila wujud bank kekayaan dapat diuruskan dengan lebih baik. Efisyen. Orang kaya suka hati. Orang kurang berduit pun suka hati. Orang jual kereta suka hati.

Inilah peranan bank dalam masyarakat yang perlu kita tahu.

About the author: Saya merupakan penulis buku Rancang Wang Dari Sekarang & ebook Panduan Cashflow. Pemegang sijil profesional Islamic Financial Planner (IFP). Klik untuk membaca profil penuh.

9 comments… add one

  • mir Apr 4, 2010

    Salam,
    Kan ada macam-macam bank, tapi kenapa Along masih berleluasa??

  • pakdi Apr 4, 2010

    Isu syarikat along ni kena tanya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Memang pelik kerana mereka dapat lesen dari kementerian tersebut dan Kementerian Kewangan dan BNM tidak mengawal mereka.

  • Hasbullah Pit Apr 4, 2010

    Maka perlunya wujud isntitusi kewangan yang bukan bank untuk menyelesaikan masalah ni

  • Amin007 Apr 4, 2010

    mungkin baitumal dah boleh mula bagi pinjam duit kot

  • Razif Apr 5, 2010

    Jadi kesimpulannya?

    Bank adalah tempat untuk orang-orang yang berduit dan berkemampuan sahaja. Jika tiada asas kewangan yang kukuh jangan cuba berani dekati pihak bank… :)

    Begitu?

  • pakdi Apr 5, 2010

    1. Baitulmal dalam konteks moden sebenarnya adalah Kementerian Kewangan, dan kuasanya seharusnya mencakupi juga urusan zakat, wakaf, luqatah, hasil wang haram dsb, tetapi konteks Malaysia, urusan agama adalah di bawah kuasa Negeri.

    2. Tidak ada kesimpulan, saya hanya berkongsikan, apa itu bank, fungsi dan peranannya dalam masyarakat bertamadun.

  • Ridhuan Apr 6, 2010

    Bank meminjamkan payung ketika cuaca cerah dan mengambilnya semula bila hari hujan.

  • asz Jul 31, 2010

    salam…
    pakdi…sy nk minta izin pinjam ayat pakdi eh..
    lecturer sy soh wat krgn ttg ‘apa jd kat dunia klu tiada bank’..
    tq..

  • Muhammad Mar 4, 2013

    Tapi Pakdi macam mana pula peranan bank dalam sistem Fractional Reserve Requirement? Mencipta duit (dalam bentuk kredit) daripada angin?

Leave a Comment