8 Panduan Asas Pelaburan Saham

zu
PELABURAN saham syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia boleh menjadi untung atau rugi.

Sesuatu perniagaan atau pelaburan tidak dinafikan mempunyai risiko.

Maka, pelabur dan pedagang saham perlu mempunyai ilmu serta membuat kajian dan analisis saham sama ada berdasarkan kaedah analisis teknikal ataupun fundamental.

Terdapat beberapa langkah yang boleh dipraktikkan sebagai garis panduan di dalam pelaburan saham iaitu:

1. Sebelum Memulakan Pe­laburan

Anda perlu mempunyai pengetahuan tentang asas-asas saham. Asas saham ini ialah perkara-perkara asas seperti bagaimana memasukkan modal pelaburan ke akaun amanah (trust account) setelah anda membuka akaun CDS dan akaun urus niaga, bagaimana melakukan urus niaga di atas talian, memahirkan diri menggunakan platform urus niaga serta memahami item-item yang tertera di skrin komputer.

2. Sebelum Membuat Keputusan Saham Syarikat Apa Yang Boleh Dibeli

Anda perlu terlebih dahulu melihat prestasi syarikat sama ada syarikat tersebut di dalam keadaan untung atau rugi. Sekiranya menitikberatkan pembahagian dividen, anda perlu mencari maklumat tentang kekerapan syarikat membayar dividen serta peratus jumlah yang dibayar. Ini boleh dilakukan dengan melihat pembayaran dividen pada tahun-tahun yang lepas.

3. Sekiranya Membeli Saham Dan Harga Saham Tersebut Telah Naik

Di mana modal pelaburan telah bertambah tetapi anda tidak tahu atau tidak mahir membaca pergerakan saham atau carta saham, maka pendekatan terbaik ialah jual untuk mendapatkan keuntungan daripada pelaburan yang dibuat. Ini kerana, pergerakan saham akan beralih kepada trend menurun selepas menaik.

4. Sekiranya Berasa Was-Was Atau Teragak-Agak

berapa jumlah unit saham yang perlu dibeli dengan modal yang ada, anda boleh mengambil pendekatan dengan membuat pembelian secara berperingkat-peringkat.

5. Sekiranya Anda Membeli Saham Dan Kemudian Harga Saham Tiba-Tiba Naik

Dengan ba­nyak dan cepat, dan sekali lagi anda tidak pasti sama ada untuk menjualnya atau tidak, cara terbaik ialah dengan menjual secara berperingkat-peringkat semasa harga saham di dalam trend menaik. Sekiranya takut harga saham tersebut akan jatuh semula, anda bolehlah menjual kesemua unit saham yang telah dibeli, oleh kerana anda telah meletakkan sasaran atau jumlah keuntungan pelaburan yang ingin dicapai semasa membuat pelaburan.

6. Menghadiri Seminar atau Ceramah Saham

Yang dianjurkan oleh pihak broker saham, bank pelaburan, Bursa Malaysia, SIDC atau mendapatkan bimbingan asas daripada wakil peniaga berdaftar iaitu dealer dan remisier. Mereka bukan sahaja tahu tentang selok-belok pasaran saham tetapi juga setiap tahun diwajibkan untuk hadir kursus-kursus anjuran Bursa Malaysia dan SIDC untuk memberikan mereka pem­belajaran yang berterusan dan terkini tentang pasaran saham. Sekiranya pelabur masih tidak mendapat maklumat yang di­perlukan daripada wakil pe­niaga ini, pelabur boleh meng­hubungi ‘help desk’ syarikat broker saham tersebut.

7. Jika Mempunyai Masa

Anda boleh membaca berita-berita saham, ekonomi serta berita pasaran saham dunia. Maklumat ini boleh didapati daripada sumber-sumber se­perti Utusanbiz, Bloomberg, CNBC dan Internet. Ada juga beberapa bank pelaburan yang menghantar berita-berita dan maklumat saham melalui emel dan khidmat pesanan ringkas kepada pelanggan mereka.

8. Sentiasa Berhati-Hati

Apabila mendengar panduan saham atau apa-apa saranan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang tidak dikenali atau tidak diiktiraf. Sila buat kajian atau analisa sebelum mengikuti saranan-saranan tersebut atau bertanya remisier anda tentang berita-berita yang didengar untuk kesahihannya.

Dengan panduan yang te­lah diberikan ini, diharapkan agar para pembaca membuat pelaburan yang bijak, tepat lagi menguntungkan. Selamat melabur daripada Cikgu Saham.

Nota ini disediakan oleh Zuraida Zakaria (Cikgu Saham) yang merupakan seorang remisier di PM Securities Sdn Bhd. Artikel Cikgu Saham seperti ini diterbitkan setiap hari Rabu di Utusan Malaysia.

Comments on this entry are closed.