8 Langkah Menguruskan Kewangan Dengan Bijak dan Sistematik

Kalau kita tidak merancang. Maka kita merancang untuk gagal.

Kemahiran menguruskan wang. Sama seperti kemahiran menjadi ibu bapa.

Kemahiran ini tidak diajar di sekolah-sekolah mahupun universiti. Sedangkan kita mula menguruskan wang sendiri sepenuhnya sejak memperoleh gaji atau pendapatan pertama sehinggalah kita meninggal dunia kelak.

Ada orang bijak pandai dapat menjana pendapatan melalui gaji dari kerjaya profesional tetapi tidak pandai menguruskan duit gaji dan kekayaan yang diperoleh. Ini adalah satu kesilapan kerana duit tadi tidak dapat menjadi hamba kepada kita. Sepatutnya kekayaan yang diperoleh itu diuruskan dengan baik supaya setiap tahun pembayaran zakat bertambah, waris-waris tidak menjadi miskin atau untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan dengan mewakafkan portfolio pelaburan.

Zaman hari ini ramai golongan wanita sudah independent dan tidak hanya bergantung kepada pendapatan suami semata-mata. Ini kerana ramai golongan profesional juga adalah dari kaum wanita. Jadi, adalah tidak wajar jika hanya menunggu suami sahaja memulakan pengurusan kewangan. Jika suami tidak mahu memulakan, puan seharusnya memulakan langkah untuk masa depan puan dan anak-anak.

Berikut adalah 8 langkah untuk tuan puan yang serius menguruskan wang dengan bijak dan sistematik.

1. Mempunyai Sumber Pendapatan

Dalam surah Yusuf, ayat 47 ada menyebut tentang kepentingan menanam selama 7 tahun dengan bersungguh-sungguh.

Ya, bukan sekadar menanam, tetapi menanam dengan bersungguh-sungguh.

Dalam erti kata lain, sama ada kita makan gaji atau bekerja sendiri kita perlu benar-benar berjaya (termasuklah memperoleh gaji tinggi) dalam bidang kita. 7 tahun zaman senang itu tadi adalah untuk menghadapi 7 tahun zaman susah. Jika kita tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi maka sukar untuk mempunyai simpanan yang mencukupi kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.

Hari ini mempunyai satu sumber pendapatan sahaja adalah tidak mencukupi. Paling kurang kena ada pendapatan kedua iaitu dari sumber pelaburan.

2. Menguruskan Aliran Tunai

Dalam ayat yang sama juga menyebut dengan jelas hasil-hasil tanaman itu tadi perlu disimpan dalam bentuk tangkai dahulu selebihnya baru makan.

Itulah panduan yang terbaik, iaitu menyimpan dahulu selebihnya baru dibelanjakan.

Ini adalah satu petunjuk agar kita semua mempunyai disiplin atau habit delay gratification iaitu menangguhkan kepuasan.

Sekiranya tuan membelanjakan semua pendapatan terlebih dahulu dan jika ada lebih baru simpan, maka itulah langkah paling berkesan untuk mencipta masalah kewangan yang kronik pada masa akan datang.

Jadi, gunakan formula ini: Gaji – Simpanan = Belanja.

Kemudian, tuan perlu menyusun keutamaan perbelanjaan.

Bermula dengan keperluan-keperluan asas hidup iaitu untuk makan, minum, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan kesihatan. Disusuli dengan kehendak-kehendak kemudian barulah kemewahan.

Dalam hal ini, penyata kewangan (financial statement) peribadi memainkan peranan penting sebagai langkah pertama untuk berumla. Angka-angka dalam penyata kewanganan adalah data terbaik yang tuan ada sama ada selama ini tuan sebenarnya banyak berbelanja untuk harta (asset) atau pun beban (liability)

Dari sini kita dapat menilai kekuatan kewangan seperti jumlah aliran tunai & simpanan, jumlah pembayaran hutang sebulan, jumlah tabung kecemasan, jumlah harta dan hutang dan kecukupan perlindungan takaful sedia ada.

Klik & Baca: 5 Tips Urus Aliran Tunai

3. Menetapkan Matlamat Kewangan

Setelah mempunyai pendapatan dan menyelesaikan keperluan asas, maka fikirkan apakah matlamat kewangan dalam hidup?

Pengurusan kewangan yang baik membabitkan matlamat kewangan jangka pendek – sederhana – panjang. Mulakan dengan matlamat paling jauh. Apabila kita mempunyai satu pandangan jauh, kita telah menetapkan langkah yang betul untuk berjaya. Kerana itulah Islam menyuruh kita berfikir mengenai mati, kerana keyakinan kita mengenai syurga neraka, kehidupan alam akhirat menyebabkan kita bersungguh-sungguh bekerja dengan penuh amanah di dunia.

Sekarang senaraikan apa yang tuan puan mahu.

4. Mempunyai Perancangan Pelaburan

Utusan Malaysia, 25 September 2021

Salah satu contoh perancangan pelaburan ialah bagaimana kita dapat mempunyai duit yang cukup di tangan untuk bersara.

Klik & Baca:Beli Saham Supaya Pencen Besok Hidup Dengan Dividen

Pelaburan portfolio pelaburan untuk tujuan persaraan boleh dibuat dengan salah satu dari 2 pendekatan:

  • Aliran tunai sepenuhnya dari sumber pelaburan
  • Mencairkan aset sedikit demi sedikit

Kedua-duanya mempunyai matlamat yang sama iaitu pendapatan dari pelaburan dapat menggantikan gaji.

Jalannya tidak lain dan tidak bukan, kita mesti mula melabur secara agresif dari usia muda.

5. Menguruskan pelaburan

Selepas mempunyai perancangan pelaburan e.g. tabung persaraan, maka seterusnya ialah kita perlu memilih cara yang bersesuaian untuk melabur.

Cara pertama ialah melakukannya secara do-it-yourself (DIY). Kita pilih nak melabur saham, bon & sukuk, derivatif, kripto, unit trust, emas dan seterusnya. Pergi ke kelas dan membaca buku. Akhir sekali menguruskan portfolio pelaburan secara bersendirian.

Cara kedua ialah melakukannya dengan bantuan individu profesional dan berlesen. Kita dapat melabur secara advisory melalui khidmat licensed financial planner atau pun terus delegate tugas pelaburan ini sepenuhnya kepada licensed fund manager.

6. Menguruskan Risiko Kewangan

Takaful.

Ada banyak jenis takaful yang ada di pasaran yang dapat melindungi risiko kewangan. Supaya jika berlaku musibah, pencarum takaful tidak perlu mengeluarkan banyak duit simpanan sendiri. Atau bila berlaku kematian, urusan hutang dapat diselesaikan dan waris mendapat sejumlah simpanan untuk keperluan meneruskan hidup.

Bagi ramai orang, melibatkan produk yang melibat kan takaful keluarga, medical card, sakit kritikal dan juga kemalangan.

7. Membayar Zakat & Cukai

Zakat dan sedekah merupakan proses 3+1.

Dengan banyak memberi, kita dapat menyucikan harta, melindungi harta dan mengembangkan harta sekaligus. Harta-harta yang kita beri ini sama sekali tidak berkurangan, malah semakin bertambah dengan cara yang Allah sahaja yang tahu.

Zakat hanya untuk harta halal, manakala harta dari sumber haram kita perlu bersihkan 100%.

Manakala cukai pula ia adalah kewajipan seorang rakyat kepada sesebuah negara. Dari duit cukai yang kita bayar, maka ia membolehkan kerajaan memberikan kita pelbagai infrastruktur asas jalan, sekolah, longkang, hospital dan keperluan lainnya.

8. Membahagikan Harta

Setelah kita berjaya mengumpul harta, jangan lupa menyediakan exit strategy.

Ini kerana kita semua pasti mati.

Bagi kita seorang Muslim, memberi alasan – faraid kan ada – adalah tidak betul. Ini kerana faraid adalah undang-undang membahagikan harta sahaja. Kita masih perlu melantik wasi / pentadbir bagi tujuan pengurusan harta pusaka. Untuk membahagikan harta secara faraid masih tetap perlu kepada seorang wasi / pentadbir harta yang lazimnya kita lantik menerusi wasiat.

Nak bahagi harta ini juga tak mesti tunggu dah mati. Kita boleh meletakkan harta dalam trust. Menghadiahkannya kepada orang lain (hibah). Ataupun membuat wakaf misalnya. Bergantung apa matlamat kewangan kita. Malah dalam keadaan tertentu mungkin ada keperluan membuat pengsiytiharan harta sepencarian, trust untuk tujuan langsai hutang, pembahagian untuk kes anak angkat, anak luar nikah, anak susuan misalnya.

Jika harta-harta ini tidak diuruskan dengan baik, sekiranya waris-waris tuan pandai menguruskannya dan dapat berpakat maka senang hidup tuan dalam kubur. Jika sudah berebut harta, hukum faraid pun dilanggar sahaja.

Jangan sampai harta beku dan orang yang kita sayang menjadi miskin sebab kelalaian kita dalam urusan ini.

Berbincang Dengan Pihak Profesional

Seorang perancang kewangan berlesen dapat membantu tuan puan dalam menguruskan kewangan secara holistik. Mereka dapat membantu dalam mengenal pasti keperluan sebenar semasa menguruskan kewangan.

Blindspot sering terjadi bila kita menguruskan kewangan seorang diri. Kesilapan juga dapat berlaku dengan mudah kerana urusan melibat wang ringgit lazimnya melibatkan emosi.

Seorang perancang kewangan dapat membetulkan semula sekiranya seseorang itu telah terkeluar dari landasan yang sepatutnya.


Baca Nota Pakdi menerusi emel: