7 Pelan Kewangan Yang Kita Semua Mesti Ada

advi

Berikut ialah senarai semak.

Sebagai panduan kepada kalian semua dalam membuat pengurusan kewangan peribadi.

Pelan ini adalah untuk individu yang serius untuk menguruskan kewangan mereka, sama ada seseorang individu itu ialah seorang pemilik pernigaan, profesional atau makan gaji.

Mudah-mudahan tuan telah pun mempunyai kesemua 7 pelan yang disebutkan. Sekiranya belum ada, maka sudah tiba masanya untuk melakukannya sekarang juga.

Perancangan yang dimaksukan ialah:

1. Membuat Simpanan Asas

Pelayaran kita panjang.

Bahtera kehidupan kita perlu sentiasa ada kapal penyelamat.

Takut-takut ada kebocoran kecil yang kita tak sedar. Ketika kebocoran tersebut sudah semakin besar takut-takut tak sempat nak tampal. Ini adalah pelan kewangan yang paling asas sebelum masuk ke pelan-pelan yang lain.

2. Membuat Belanjawan (Budgeting)

Bukan negara sahaja yang perlukan belanjawan.

Kita juga perlu membuat belanjawan diri sendiri & keluarga yang berkaitan perkara berikut:

  • Perbelanjaan tetap
  • Perbelanjaan pelbagai

Perbelanjaan tetap membabitkan perbelanjaan yang tidak dapat tidak, mesti dibuat setiap bulan. Sekiranya tidak buat maka adalah sukar untuk kita teruskan hidup dan akan berlaku sekatan tertentu.

Perbelanjaan pelbagai pula lebih bersifat discretionary yang mana jumlahnya barangkali pada sesuatu bulan itu bertambah atau berkurang. Selalunya membabitkan perbelanjaan berkaitan kehendak dan kemewahan.

Belanjawan mestilah dibuat selari dengan pelan-pelan kewangan lain seperti yang dinyatakan di bawah.

3. Membuat Pelan Hutang Piutang

Kita perlu merancang untuk berhutang.

Utamakan berhutang untuk keperluan yang lebih utama.

Slip gaji itu adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik. Sekiranya amanah tersebut tidak dijaga maka rekod debt service ratio (DSR) boleh terlebih sebelum waktunya. Dalam situasi yang lebih menyedihkan, rekod Central Credit Reference Information System (CCRIS) pun tercemar akibat tidak membayar hutang ikut jadual.

Sila dapatkan Tutorial Online Panduan Cashflow untuk mula keluar dari hutang. Sila klik sini – www.panduancashflow.com

4. Membuat Perlindungan Pendapatan & Harta

Seterusnya apabila sudah ada tanggungan dan hutang maka sudah pasti ada perkiraan yang perlu dibuat.

  • Apa yang bakal terjadi sekiranya sudah tidak mampu bekerja ?
  • Apa yang bakal terjadi sekiranya sudah meninggal dunia ?

Seorang breadwinner perlu membuat anggaran perkiraan sebaiknya untuk menghadapi situasi seperti di atas.

5. Membuat Pelaburan

Perancangan berkaitan pelaburan ini boleh jadi untuk tujuan-tujuan berikut:

  • Tabung nak pergi haji
  • Tabung persaraan
  • Tabung pendidikan anak-anak
  • Tabung percutian
  • Tabung pembelian rumah

Apa-apa matlamat hidup yang mengambil masa yang lebih dari 5 tahun, maka kita boleh menggunakan instrumen pelaburan tertentu sebagai jalan untuk mencapainya.

Simpanan (savings) seperti yang disebut dalam #1 adalah berbeza dengan pelaburan (investment). Contohnya, kalau nak beli televisyen 60 inci hatta beli mesin pengisar sekalipun jangan berhutang. Simpan dalam tabung khas simpanan. Jangan pula dilaburkan duit tersebut. Produk simpanan pun adalah berbeza dan tidak sama dengan produk pelaburan.

Pelan berkaitan pelaburan dapat tuan baca dengan lebih lanjut di sini:

— 6 Langkah Memulakan Pelaburan Dengan Bijak Dan Bersistematik

6. Menguruskan Cukai & Membayar Zakat

Sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai kewajipan untuk membayar cukai.

Ada rebates & reliefs of tax yang boleh kita nikmati. Malah, kita juga boleh membuat tax planning dalam situasi-situasi yang tertentu. Pada 2016, ada isu melibatkan artis dan cukai iaitu Rozita Che Wan yang tidak dapat pergi ke luar negara kerana mempunyai tunggakan cukai dan juga Nora Danish yang bertanyakan tentang percukaian kos operasi sebagai seorang artis iaitu perbelanjaan barangan kecantikan.

Pada masa yang sama sebagai Muslim, kita ada kewajipan untuk membuat taksiran & pembayaran zakat harta.

7. Membuat Pembahagian Harta

Harta sekiranya dibahagikan semasa hidup, maka terpulanglah kepada kita nak bahagi macam mana pun.

Tetapi apabila berlaku kematian harta tersebut mestilah dibahagikan mengikut undang-undang. Tidak boleh lagi dibahagikan sesuka hati.

Apakah undang-undang tersebut ? Selaku orang Islam, harta pusaka tertakluk kepada undang-undang berkaitan dengan hukum faraid.

Contohnya, apabila suami mati dan meninggalkan seorang isteri. Rumah yang dimiliki suami tadi tidak secara automatik menjadi milik isteri 100% walaupun rumah tadi atas geran nama bersama (joint name). Kalau mahu rumah tadi jadi isteri punya, maka kena lah diuruskan semasa hidup lagi.

Apa-apa harta yang kita ada baik dari perniagaan sampailah duit simpanan di bank dapat diwarisi dan kita adalah individu lebih tahu siapa yang lebih berhak mendapatnya. Maka pelajarilah hukum faraid supaya waris yang kita sayang ditinggalkan berada dalam keadaan yang terbaik.

Bagaimana Untuk Membuat Pelan Kewangan ? 

Sesiapa sahaja boleh membuat pelan kewangan peribadi sendiri.

Iaitu mereka yang mempunyai:

  1. Ilmu perancangan kewangan
  2. Masa untuk melakukannya

Maka apabila pelan holistik pengurusan kewangan Do It Yourself (DIY) ini telah siap dibuat, maka tuan boleh terus berhubung dengan mana-mana pihak yang boleh membantu tuan memenuhi pelan kewangan yang telah disiapkan seperti:

  • Unit trust consultant dapat menawarkan produk unit trust.
  • Ejen takaful dapat menawarkan produk takaful.
  • Remisier / dealer untuk pelaburan saham di Bursa Malaysia.
  • Tax advisor untuk tujuan tax planning
  • Real estate agent untuk pembelian hartanah
  • Fund manager untuk personalized investment portfolio
  • Banker untuk produk-produk berkaitan perbankan
  • Trustee untuk hal ehwal pemegang amanah harta
  • Peguam atau ejen-ejen perwarisan harta untuk tujuan estate planning.

Buat pelan kewangan dulu baru cari produk kewangan dan bukan sebaliknya.

Setiap produk kewangan yang ada di pasaran mempunyai fungsi yang berbeza. Tuan perlu tahu produk yang sesuai dengan pelan holistik kewangan diri sendiri. Sekadar sudah membeli apa-apa produk kewangan belum menjadikan tuan sudah membuat satu pelan kewangan yang holistik.

Contohnya pelan persaraan. Tuan memerlukan sekurang-kurangnya RM 3 juta untuk membolehkan tuan mengekalkan gaya hidup RM 120 ribu setahun (kiraan sudah termasuk faktor inflasi). Untuk mencapai matlamat persaraan ini, ada banyak cabaran yang perlu ditempuh. Antaranya ialah 2 perkara berikut:

  1. Adakah pendapatan aktif tuan mencukupi untuk mencapai sasaran RM 3 juta pada usia persaraaan ?
  2. Pembelian rumah sendiri yang dapat mengabiskan banyak duit simpanan.

Maka apabila tuan telah mempunyai pelan yang mengambil kira banyak faktor-faktor sebegitu, barulah tuan dapat mencari produk yang sesuai dengan keperluan.

Bukan Semua Orang Tahu Membuat Pelan Kewangan

Tetapi sekiranya tidak mempunyai ilmu dan masa untuk membuat pelan kewangan DIY maka sudah pastilah tuan memerlukan khidmat seorang perancang kewangan .

Iaitu independent financial planner yang memberikan khidmat beyond selling financial products semata-mata. i.e. menawarkan khidmat consultancy.

ifp

Setelah mengenal pasti perancang kewangan yang sesuai dan mendapatkan perkhidmatan beliau, maka perkara pertama ialah tuan akan bersama-sama menyediakan pelan-pelan kewangan yang disebutkan sebelum ini. Selain itu individu yang mendapatkan khidmat financial planner mendapat manfaat-manfaat berikut iaitu.

1. Pendekatan Proaktif

Apabila tuan menunggu ada pihak datang untuk menjual produk kewangan tertentu, itu adalah satu tindakan reaktif. Produk yang ditawarkan boleh jadi memenuhi keperluan atau tidak memenuhi keperluan. Dalam situasi ini tuan yang dipilih untuk bersetuju dengan angka-angka yang dicadangkan.

Sebaliknya, apabila  bermula dengan pelan kewangan terlebih dahulu, maka tindakan yang lebih proaktif dapat dibuat. Maka sekarang tuan pula yang memilih produk yang sesuai dengan pelan kewangan. Tuan sendiri yang menentukan angkanya.

2. Expert Opinion

Walaupun tuan telah mempunyai financial planner, tuan pasti akan terus didatangi oleh pelbagai pihak yang menawarkan produk-produk kewangan.

Namun, kali ini tuan dapat mendengar pandangan kedua mengenai tawaran terbaru yang sampai kepada tuan. Adakah ia satu cadangan yang baik dan bersesuaian dengan pelan kewangan atau ia sebenarnya adalah satu cadangan yang buruk ?

3. Financial Facilitator

Bukan semua orang tahu dimana untuk mencari peguam, banker, tax advisor, remisier, ejen takaful dan mana-mana wakil product provider yang baik dan sesuai.

Seorang perancang kewangan sudah pasti dapat menghubungkan tuan dengan pihak-pihak tersebut seterusnya banyak masa dapat dijimatkan. Perkara paling penting ialah perancang kewangan dapat menjadi pemudah cara yang efektif dengan bercakap dengan bahasa yang betul dengan semua pihak tersebut supaya semua khidmat yang ditawarkan adalah selari dengan pelan kewangan.

4. Penyimpan Rekod Kewangan

Lebih banyak harta yang tuan ada maka lebih banyak dokumen kewangan yang sampai ke tangan tuan.

Maka sudah pasti semua maklumat berkaitan kewangan ini perlu disimpan dalam bentuk yang sistematik.

Ramai individu yang tidak mempunyai sistem penyimpanan rekod yang baik. Ini dapat menjadi satu perkara yang merumitkan dalam keadaan tertentu. Seorang financial planner dapat membantu agar maklumat tersebut dapat dikeluarkan dalam tempoh masa sepatutnya. Malah sekiranya ada apa-apa yang terjadi kepada tuan, sudah ada pihak yang boleh memaklumkan maklumat-maklumat yang penting kepada waris yang ditinggalkan.

5. Financial Coach

Apabila perbincangan dibuat dari masa ke masa, maka sudah tentu banyak berlaku transfer of knowledge.

Contohnya, apabila sesuatu pelaburan mahu dibuat sudah tentu seorang perancang kewangan akan memberitahu sebab-sebab kenapa sesuatu pelaburan itu baik atau tidak baik. Sudah tentu ia membabitkan kiraan dan financial reason dan bukannya berdasarkan gut feeling, emosi dan sentimen sahaja.

Fi Perkhidmatan Financial Planner

Fi yang dikenakan adalah berbeza.

Bergantung kepada jenis khidmat yang diperlukan. Sekiranya situasi adalah rumit dan kompleks, maka fi akan menjadi tinggi.

Secara umumnya seorang financial planner mengenakan fi berdasarkan:

  • Fee-only; sama ada berdasarkan one-off, tempoh masa atau peratusan dari jumlah aset.
  • Commission-based; berdasarkan jualan produk, atau, trailer.
  • Kombinasi keduanya

Seseorang financial planner akan memaklumkan kepada klien mereka tentang struktur fi mereka.

Financial Planner Bukan Ahli Silap Mata

Perancang kewangan adalah ibarat seorang arkitek.

Mereka mempunyai idea untuk membuat financial design kewangan berdasarkan pelan kewangan yang realistik. Seterusnya memastikan pihak penyedia khidmat kewangan yang lain membinanya berdasarkan pelan sedia ada.

Perancang kewangan bukan ahli silap mata, atau Aladdin yang mempunyai lampu ajaib yang mempunyai jin yang memakbulkan apa-apa permintaan sekelip mata, atau saudagar mimpi yang menjanjikan pulangan bulan dan bintang.

Perancang kewangan membantu seseorang individu itu mencapai sasaran kewangan berdasarkan cashflow, harta dan beban hutang sedia supanya kesemuanya diuruskan dengan lebih efektif seterusnya banyak masa, wang dan tenaga dapat dijimatkan.

Maka, seseorang individu dapat terus fokus kepada kerjaya sedia ada yang dapat terus menjana pendapatan aktif manakala perancang kewangan menguruskan kekayaan individu tadi dengan lebih berkesan.
.

Nota ini disediakan oleh Suzardi Maulan, Islamic Financial Planner (IFP). Sekiranya tuan mahu membuat temujanji kewangan, sila hubungi kami melalui 03 9207 9780 (Pn Suhaida) atau klik link ini — www.rancangwang.com

About the author: Suzardi Maulan, Islamic Financial Planner (IFP). Klik sini untuk info lanjut

Lagi Artikel Menarik

Comments on this entry are closed.