6 Perkara Yang Dapat Berlaku Apabila Tidak Uruskan Pembahagian Harta Semasa Hidup

Semasa hidup harta yang kita ada dapat diuruskan mengikut kehendak kita.

Apabila kita sudah mati harta tersebut perlu diuruskan mengikut undang-undang.

Dalam Islam, undang-undang yang terpakai ialah faraid apabila kita meninggal dunia tanpa menyediakan apa-apa perancangan pembahagian harta. Mengikut faraid waris-waris yang berhak dapat dulu harta yang ditinggalkan tersebut ialah:

  1. Ibu si mati
  2. Bapa si mati
  3. Pasangan si mati
  4. Anak lelaki si mati
  5. Anak perempuan si mati

Sekiranya masih ada bapa dan mempunyai anak lelaki, maka pembahagian harta itu berhenti di situ. Tetapi sekiranya tidak ada salah satu dari keduanya, maka akan ada waris-waris lain yang berhak mendapatnya.

Harta-harta yang dimaksudkan tidaklah mesti bernilai jutaan ringgit. Simpanan di bank, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun sedikit pun tertakluk kepada undang-undang sedia ada. Isunya bukan pada jumlahnya, tetapi apakah orang yang kita sayang nanti mendapat harta itu seperti yang kita mahukan. Manusia ini rambut sama hitam tetapi hati lain-lain.

Sebagai contoh rumah kediaman yang dimiliki atas nama bersama suami – isteri. Sekiranya suami meninggal dunia nanti bahagian yang dimiliki suami tadi tidak secara automatik menjadi milik isteri 100%. Kalau mahu rumah tadi jadi isteri punya, maka uruskanlah pembahagian semasa hidup lagi.

Merancang pembahagian harta tidaklah seseronok merancang membeli rumah tetapi perancangan pembahagian harta ini sama penting dengan perancangan menambah harta. Sekiranya tidak dibuat, perkara-perkara ini dapat berlaku.

1) Apabila Tidak Ada ‘Asabah Maka Harta Tadi Diwarisi Oleh Penerima Lain

‘Asabah ialah waris yang mewarisi baki harta yang ditinggalkan.

Bermula dari anak lelaki dan bapa. Sekiranya tiada baru ke ‘asabah yang lain cucu lelaki, datuk, adik beradik lelaki dan seterusnya.

Penerima lain itu bukanlah orang asing pun. Tetapi secara praktikalnya bagaimana nak membahagikan rumah kediaman yang sepatutnya didiami oleh isteri dan anak perempuan selepas kematian nanti sekiranya ada adik-beradik kita yang menuntut “bahagiannya” ? Sekiranya adik-beradik semasa hidup lagi sudah berperangai seperti 3 Abdul maka tidak mustahil rumah kediaman tadi akhirnya terpaksa dijual akhirnya isteri dan anak perempuan hilang tempat berteduh.

Itu baru cerita rumah kediaman. Bagaimana pula dengan harta-harta yang lain dan nasib mereka yang tersayang apabila situasi ini berlaku dalam keadaan tiada perancangan pembahagian harta telah disediakan ?

2) Harta Milik Anak Bawah Umur Tidak Dapat Diuruskan Dengan Baik Atau Mungkin Tidak Dilindungi 

Kita tidak tahu bila kita nak mati.

Maka boleh jadi masa kita meninggal dunia anak-anak kita masih di bawah umur 18 tahun.

Anak-anak bawah umur ini masih belum boleh mewarisi harta dan menguruskannya sendiri, mengikut undang-undang. Contohnya, disebabkan tidak ada ilmu faraid dan tidak dinasihati dengan betul, si ibu menamakan anak yang masih bawah umur sebagai penama KWSP, takaful, maka apabila meninggal dunia dalam situasi ini bagaimana si anak itu tadi mahu menguruskan harta-harta tersebut ?

Dari sudut lain, menamakan seseorang sebagai penama adalah pemegang amanah sahaja dan dia tidak boleh dianggap sebagai penerima harta tersebut.

Begitu juga sekiranya berlaku situasi (1), tidak mustahil golongan 3 Abdul tadi membuli atau memakan harta anak-anak bawah umur yang dtinggalkan. Ya, itu harta anak yatim. Tetapi jika nafsu fulus sudah membara semua disapunya.

3) Pewaris Tidak Layak Atau Berkemampuan Menguruskan Harta

Ahmad memiliki 60% pegangan saham dalam sebuah syarikat.

40% lagi dimiliki oleh rakannya, Ali.

Apabila Ahmad meninggal dunia walaupun 60% pegangan saham itu telah dibahagikan sebaiknya tetapi situasi perniagaan sudah berubah. Ali pula kini menjadi controlling shareholders. Waris-waris Ahmad pula tidak tahu apa-apa pula mengenai perniagaan. Jadi bagaimana kepentingan waris-waris dapat dijaga sebaiknya ? Sedangkan perniagaan itulah yang menjadi sumber utama pendapatan keluarga.

Begitu juga dengan perniagaan berasaskan perkhidmatan profesional yang mana pasangan dan anak tidak mempunyai kelayakan profesional yang sama. Kepakaran seorang doktor, jurutera, akauntan, arkitek, peguam dan lain-lain yang mempunyai firma sendiri ini adalah sesuatu yang tidak dapat diwarisi. Jadi bagaimana ?

4) Harta Tidak Dapat Dibahagikan Mengikut Kehendak

Kita yang lebih tahu pasal keluarga kita sendiri.

Berikut adalah antara persoalan yang perlu dijawab

  • Apakah kita tidak mempunyai anak atau anak lelaki ?
  • Apakah kita ada menyorokkan perkahwinan kedua ?
  • Apakah kita ada mengambil anak angkat ?
  • Apakah ada isu anak tidak sah taraf ?
  • Anak-anak yang ditinggalkan bagaimana perangainya?
  • Perangai adik-beradik seibu sebapa.
  • Hubungan isteri dengan mak ayah kita.
  • Dan lain-lain

Sekiranya semuanya baik-baik, ucapkanlah alhamdulillah. Namun, perangai-perangai sebenar waris ini selalu juga terkeluar sejurus selepas kematian seseorang. Bukan semua yang dari hidup lagi telah berperangai seperti 3 Abdul.

Barangkali ada anak yang memang lebih berhak dapat dari adik-beradik yang lain. Mungkin isteri pertama lebih layak dapat lebih kerana dia telah melalui zaman susah bersama berbanding isteri kedua. Mungkin ada orang di luar golongan “waris” yang sepatutnya dapat bahagian harta kita. Mungkin itu. Mungkin ini.

Maka dengan perancangan pembahagian harta, maka banyak yang dapat diharmonikan. Pertelagahan dapat dielakkan.

5) Masa Panjang & Kos Tinggi

Tuntutan pusaka dapat dibuat di:

  • Mahkamah Tinggi,
  • Pejabat Pusaka Kecil,
  • Amanah Raya Berhad

Bergantung kepada jenis harta & nilaian harta yang ditinggalkan.

Sekiranya semua perancangan telah dibuat, maka tempoh tuntutannnya adalah antara 3-6 bulan. Malah tidak mustahil berlanjutan sehingga 12 bulan.

Malangnya bagi waris si mati yang meninggal dunia tanpa perancangan pusaka, untuk mencari semua maklumat harta, membuat perbincangan sahaja mengambil masa bertahun-tahun. Jika ada pertelagahan maka lagi susah nak selesai. Bila tidak ada ada kata sepakat maka pembahagian secara faraid perlu dibuat. Apabila sudah masuk mahkamah maka kos bertambah.

Selagi mana tidak selesai maka harta tersebut ‘beku’. Hartanah terbengkalai, tiada urusniaga dapat dibuat, sekiranya berhak mendapat pampasan ianya tertangguh dan tidak mustahil berlaku tuntutan berlapis kerana waris yang layak akhirnya meninggal dunia dulu sebelum sempat diselesaikan.

Begitu juga halnya bagi mereka yang mempunyai harta bernilai RM 2 juta dan ke atas, maka berpakat atau tidak berpakat memang kena buat tuntutan di Mahkamah. Maka perancangan pusaka membolehkan sebahagian harta ini dibahagikan tanpa perlu melalui proses ini.

6) Hutang Tidak Dapat Dilangsaikan Dengan Segera

Orang mati syahid dijamin terus masuk syurga.

Tetapi jaminan itu bersyarat. Hutang mesti dah selesai. Begitulah beratnya tuntutan hutang.

Malah, hutang itu wajib dilangsaikan dengan harta yang kita ada sebelum pembahagian harta dapat dibuat. Maka, apabila sudah menyediakan dokumen sepatutnya untuk harta-harta tertentu, maka penama selaku pemegang amanah dapat menyelesaikan hutang yang sepatutnya.

Sekiranya tidak diuruskan sebaiknya maka terpaksalah tunggu tuntutan itu selesai baru dapat langsaikan hutang piutang tersebut.

About the author: Suzardi Maulan, seorang Islamic Financial Planner yang membantu individu untuk memulakan tabung persaraan — Klik sini untuk info lanjut

Comments on this entry are closed.