5 Tips Mudah Belanjawan Yang Dapat Mengelakkan Tragedi Hutang Berulang Lagi

sampulduit

Selepas dapat duit gaji.

Simpan dahulu.

Selebihnya baru dibelanjakan. Tapi jangan sampai simpanan itu tadi dikeluarkan semula. Sekiranya itu berlaku maksudnya tuan tidak ada strategi belanjawan. Apabila tidak ada belanjawan, maka tragedi buat hutang pun bermula.

Kapal yang ada kebocoran, jika tidak ditampal lama-lama tenggelam juga. Maka, jangan biarkan kebocoran-kebocoran kecil ini mengganggu perjalanan yang masih jauh.

Buatlah belanjawan. Berikut adalah kaedah yang tuan dapat buat setiap bulan.

1. Senaraikan Perbelanjaan

Berdasarkan perbelanjaan lepas, pecahkan kepada 3 kategori.

  • Keperluan asas
  • Kehendak
  • Kemewahan

Tulis secara spesifik servis apa nak bayar, barang apa nak beli.

Bukan untuk jadi kedekut tetapi  senarai ini supaya cashflow tidak menjadi lintang pukang. Justeru, kalau ada benda-benda besar yang bakal berlaku seperti musim raya, belanja anak sekolah, sambutan ulang tahun perkahwinan dan sebagainya, duit sudah disediakan sejak awal.

2. Gunakan Kaedah Sampul

Dah senaraikan perbelanjaan seperti #1.

Andaikan perbelanjaan dapur ialah RM 500, belanja susu anak RM 300, belanja duit sekolah anak RM 200.

Maka pada hari gaji terus pergi ATM dan keluarkan RM 1 ribu itu siap-siap. Letak dalam sampul-sampul dan namakan setiap sampul itu seperti:

  • Dapur RM 500.
  • Susu anak RM 300.
  • Sekolah anak RM RM 200.

Dan seterusnya.

3. Tetapkan Masa Berbelanja

Ini adalah untuk perbelanjaan seperti membeli keperluan dapur.

Pilihlah masa yang paling selesa untuk tuan sekeluarga.

Jika berbelanja untuk keperluan raya puasa misalnya, pilihlah pada waktu pagi (orang yang pertama masuk kedai) atau pada waktu malam. Beritahu anak kecil sehari sebelum berbelanja, dan ketika sudah mahu keluar dari pintu rumah. Apakah tujuan keluar rumah, berapa lama yang diperlukan, supaya mereka dapat beri kerjasama ketika membeli-belah.

Emosi ibu bapa tak terganggu sebab anak-anak kecil pun tidak berapa nak meragam.

4. Pilih Kedai Yang Menawarkan Harga Terbaik

Tetapkan lokasi lebih awal.

Bukan ikut hati.

Ada kedai yang menawarkan harga lebih rendah untuk ahli. Ada juga yang menawarkan baucer dan kupon. Ada kedai yang menawarkan diskaun tak masuk akal. Sudah macam-macam  cara kedai nak tarik pelanggan.

Jika kita dah biasa kawal perbelanjaan, dah tahu kedai mana yang terbaik. Kebiasannya, puan-puan lebih peka bab sebegini.

5. Tinggalkan Kad ATM & Kad Kredit

Bawa senarai barang.

Bawa sampul duit sahaja.

Noktah.

About the author: Tidak ada masa urus pelaburan sendiri? Jika ya, sila klik sini — Konsultansi Pelaburan

Comments on this entry are closed.